Kerajaan dalam proses wartakan pemakaian pelitup muka

0
48

KUALA LUMPUR: Kerajaan kini dalam proses akhir sebelum mewartakan arahan pemakaian pelitup muka di tempat awam bagi mengekang penularan COVID-19, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

Beliau berkata pihak berkuasa sedang berbincang bagi menetapkan tarikh pewartaan itu yang dijangka tidak lama lagi.

“Sementara itu, kita galakkan orang ramai memakai pelitup muka (di tempat awam),” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen, di sini hari ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dalam perutusan khas mengenai perkembangan terkini Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada Isnin berkata kerajaan menimbang untuk mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam susulan ancaman COVID-19 masih belum berakhir.

Katanya perincian mengenai perkara itu akan diumumkan apabila peraturan berkaitan dimuktamadkan kerajaan.

Media melaporkan susulan peningkatan semula kes jangkitan COVID-19 di peringkat global, beberapa negara mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam, termasuk Singapura yang pada April lalu mewajibkan semua orang di negara itu memakainya apabila keluar rumah.

Sementara itu, mengulas perkembangan situasi COVID-19 semasa negara, Dr Noor Azmi yang mengakui Kementerian Kesihatan bimbang dengan peningkatan kes penularan tempatan selain kewujudan kluster baharu, berkata kementerian sentiasa bersedia menghadapi kemungkinan itu.

Mengenai kes wanita bergelang tangan kuarantin di rumah yang gambarnya tular makan di sebuah restoran di Perak, Dr Noor Azmi berkata kementerian telah melakukan pengesanan kontak yang terkait dengan individu berkenaan.

Berhubung kes COVID-19 di Sarawak, beliau berkata KKM akan menambah pasukan ke negeri itu bagi menilai situasi termasuk keperluan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mengikut lokaliti jangkitan kes.

Semalam, Kementerian Kesihatan melaporkan satu lagi kluster baharu dikesan di Sarawak, menjadikan jumlah keseluruhan lapan kluster setakat semalam.

Negeri itu juga kembali mencatat kes harian baharu dua angka dengan 11 kes dilaporkan semalam.

– BERNAMA

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here