Kerajaan diminta tak berganjak keputusan undi 18 tahun – ABIM

0
62

KUALA LUMPUR: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa kerajaan supaya tetap berpegang kepada perkara yang diputuskan Dewan Rakyat pada 16 Julai 2019 untuk menguatkuasakan dasar umur layak mengundi 18 tahun.

Presidennya, Muhammad Faisal Abdul Aziz, berkata pihaknya merujuk kepada kenyataan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim yang dilihat seperti cuba berdalih dengan dakwaan kononnya pindaan Perkara 119 (1) yang diluluskan di Parlimen dibuat tergesa-gesa dan bermotifkan politik.

ABIM menegaskan tiada alasan kukuh untuk mana-mana pihak berganjak daripada keputusan yang dicapai sebulat suara oleh seluruh ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang dengan menafikan hak warga Malaysia yang sudah mencapai usia 18 tahun untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“ABIM menyangkal dakwaan pihak tertentu yang mendakwa rakyat Malaysia berumur 18 tahun masih mentah dan belum bersedia untuk mengundi dalam pilihan raya.

“Ketika mereka yang berusia 18 tahun sudah boleh bekerjaya, menganggotai ketenteraan, berkahwin dan sebagainya seperti yang termaktub dalam peruntukan undang-undang, adalah satu yang tidak masuk akal apabila ada pihak yang mempersoal kematangan mereka untuk membuat pilihan menentukan nasib negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Muhammad Faisal berkata, apabila mereka yang berumur 18 tahun ke atas dibenarkan untuk bekerjaya, sudah pasti mereka termasuk dalam golongan yang berkelayakan membayar cukai kepada negara.

Justeru, adalah satu tanggungjawab moral dan amanah untuk mereka terbabit dalam memilih pemimpin negara sebagai ruang semak dan imbang serta memantau kebertanggungjawaban kerajaan menggunakan cukai yang mereka bayar.

Merujuk kepada data batchgeo.com yang menegaskan bahawa statistik dunia hari ini menunjukkan 86 peratus negara telah menurunkan umur mengundi kepada 18 tahun.

Ini tidak termasuk negara jiran Indonesia dan Timur Leste yang meletakkan had umur mengundi 17 tahun selain 16 negara lain di dunia yang meletakkan had umur mengundi lebih muda iaitu 16 tahun.

“ABIM menggesa pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membentangkan kepada rakyat laporan perkembangan terkini pelaksanaan had umur mengundi yang baharu agar seluruh rakyat khususnya anak muda di Malaysia dapat memastikan mereka dibenarkan untuk mengundi dalam PRU akan datang,” katanya dalam kenyataan itu.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here