Kerajaan tumpu penuhi keperluan vaksin COVID-19 dalam negara – KJ

0
75

KUALA LUMPUR: Keutamaan kerajaan ketika ini adalah untuk memenuhi keperluan vaksin bagi kegunaan dalam negara, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin.

Setakat ini katanya, kerajaan belum memuktamadkan sebarang keputusan berhubung hala tuju negara untuk menjadi hab halal bagi vaksin COVID-19.

Beliau berkata, antara fokus utama kerajaan adalah meneliti aspek kepakaran dan kapasiti penghasilan vaksin tempatan.

“Jangkaan untuk Malaysia menjadi hab halal pengeluaran vaksin bagi keperluan negara lain adalah perancangan jangka panjang.

“Pada masa sama, kita galakkan jika syarikat yang mahu bawa vaksin dari luar dan ada perjanjian tambahan untuk membina kilang, penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan sebagainya.

“Sebab kita percaya COVID-19 ini bukanlah virus terakhir yang akan menyebabkan pandemik, akan ada virus lain dan kita akan sentiasa perlukan vaksin untuk virus lain.

“Ini adalah peluang bagi syarikat farmaseutikal dan bioteknologi tempatan untuk meningkatkan nilai tambah masing-masing,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berharap, Malaysia mampu meningkatkan kapasiti kepakaran penghasilan vaksin tempatan, pada masa akan datang.

“Ketika ini, kita terpaksa beli semua vaksin dari luar. Kita tiada kapasiti pembuatan tempatan. Saya harap dengan pengalaman pembelian vaksin, R&D dan pemindahan teknologi, kalau berlakulah apa-apa pandemik di tahun mendatang, kita ada kapasiti menghasilkan vaksin sendiri,” katanya.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here