Kes rasuah ketirisan perolehan kerajaan semakin kritikal.

0
36

PUTRAJAYA: Kes rasuah melibatkan ketirisan perolehan kerajaan membabitkan penjawat awam dilihat semakin kritikal, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki.

Tanpa mendedahkan statistik berkenaan, beliau berkata hampir 50 peratus kes ketirisan perolehan kerajaan banyak berlaku membabitkan agensi kerajaan.

“Saya boleh katakan, ketirisan pada analisa SPRM banyak berlaku di sektor awam, dengan mereka (pihak pimpinan tertinggi agensi kerajaan) yang berkuasa dalam memutuskan sesuatu perkara itu (perolehan kerajaan) terlibat penyelewengan dan salah guna kuasa.

“Apabila berlakunya ketirisan perolehan kerajaan, siasatan kami menunjukkan terdapatnya elemen rasuah yang menyebabkan sesuatu nilai perolehan kerajaan turut naik,” katanya.

Menjelaskan perkara itu, Azam memberi contoh jika sesuatu perolehan kerajaan bernilai RM1 juta maka nilai rasuah juga akan naik berbanding nilai asas.

“Ia bukan hanya nilai rasuahnya naik, malah kualiti projek juga tidak berkualiti. Saya ingin memberi contoh kes terbaharu melibatkan projek naik taraf jalan di Sarawak. Projek jalan ini dikurangkan kualiti pembuatannya sehingga menyebabkan jalan berkenaan cepat rosak lalu menyebabkan kerugian jutaan ringgit kepada kerajaan,” katanya.

Azam berkata, pihaknya perlu ada pakar dalam perkara berkenaan dan perlu bekerjasama dengan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk membuat penilaian semula.

Pada awal September lepas, media melaporkan SPRM telah menahan dua pengarah syarikat berpangkat Datuk disyaki terlibat rasuah dan mengemukakan tuntutan palsu bernilai puluhan juta ringgit berhubung pelaksanaan 10 projek menaik taraf jalan di Sarawak bernilai RM800 juta.

Ditanya sama ada sektor swasta turut berlaku ketirisan, Azam berkata pihaknya ada menerima kes ketirisan membabitkan sektor swasta, namun jumlahnya tidak membimbangkan seperti dalam sektor awam.

“Hasrat SPRM adalah untuk menyiasat kedua-dua pihak ini (sektor awam dan swasta) jika terlibat ketirisan perolehan kerajaan, kami akan bawa ke mahkamah untuk pendakwaan,” katanya.

SUMBER – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here