Kes sebutan semula bunuh jurutera tapak 2 Mac

0
105

SEPANG: Mahkamah Majistret di sini, hari ini menetapkan 2 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula kes bunuh seorang jurutera tapak pada Oktober tahun lalu.

Majistret, Ayuni Izzaty Sulaiman membuat keputusan itu selepas tertuduh, P Vijayan, 42, dibawa di hadapannya, pagi tadi.

Sementara itu, peguam bela tertuduh, Datuk Sheelan Arjunan yang ditemui di luar mahkamah, berkata beliau membuat permohonan untuk tarikh sebutan, berikutan hanya laporan asid deoksiribonukleik (DNA) yang sudah sedia manakala laporan bedah siasat dan forensik masih belum diterima.

“Saya memaklumkan kepada mahkamah kes itu sudah tiga bulan berlaku dan laporan berkenaan perlu disegerakan,” katanya.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Nasharina Nazlan.

Pada 10 November lalu, Vijayan didakwa di mahkamah sama terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, membunuh K Seri Ganis Kanapathy Pillay, 42, di kawasan bersebelahan Jalan Airport City 2, Airport Business Centre Kota Warisan, di sini, antara jam 2.38 hingga 4.50 pagi pada 28 Oktober lalu.

Jika sabit kesalahan beliau boleh dihukum mati mandatori.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Sementara itu, petugas media tidak dibenarkan memasuki prosiding berkenaan, berikutan arahan Ketua Hakim Negara sebelum ini bahawa mahkamah perlu memastikan tiada seorang pun dibenarkan hadir ke prosiding di mahkamah terbuka; kecuali tertuduh dan dua ahli keluarga atau kawan, seorang timbalan pendakwa raya atau bilangan yang dibenarkan mahkamah, seorang peguam atau bilangan dibenarkan oleh mahkamah serta saksi kes.

Pada 28 Oktober lalu, media melaporkan seorang pemandu sebuah kenderaan mewah ditemui rentung dalam keretanya yang terbakar bersebelahan dengan Jalan Airport City 2, Airport City Business Centre berhampiran Stesen LRT Salak Tinggi.

Siasatan awal mendapati kenderaan itu yang didaftarkan di Subang Jaya milik seorang lelaki yang juga seorang juruteratapak binaan.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here