Kes tertukar bayi di Hospital Melaka selesai

0
129

MELAKA: Jabatan Kesihatan negeri melakukan siasatan dalaman terhadap kes tertukar bayi di Hospital Melaka, di sini, minggu lalu sama ada berlaku kecuaian petugas kesihatan atau sebaliknya.

EXCO Kesihatan dan Antidadah negeri, Datuk Rahmad Mariman, berkata tindakan tatatertib perlu dikenakan terhadap petugas kesihatan terbabit jika terdapat unsur kecuaian sehingga menyebabkan kes itu berlaku.

“Kes ini tidak pernah berlaku di Melaka dan ia dikatakan berpunca daripada kesilapan dan kecuaian petugas.

“Jadi saya mengesyorkan supaya petugas kesihatan yang terbabit dikenakan tindakan tatatertib kerana ia adalah kes yang serius,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Ayer Molek hari ini.

Baru-baru ini, insiden bayi tertukar yang dilahirkan pada 12 Februari lalu seberat 3.1 kilogram di tular seorang wanita di laman Facebook miliknya.

Dalam status yang dimuat naik itu, wanita berkenaan dilaporkan berkata dibenarkan pulang pada 15 Februari lalu dengan bayi lelakinya terpaksa ditahan wad hospital kerana jaundis.

Bagaimanapun, pada 17 Februari lalu, ketika dia datang semula ke hospital untuk menyusukan bayinya, dia terkejut seorang lagi bayi lelaki yang diletakkan di katil bayi bukan anaknya, sebaliknya milik orang lain.

Bayi wanita itu pula sudah diambil orang lain selepas dibenarkan keluar wad pada waktu tengah hari pada hari sama.

Bagaimanapun, pihak hospital berjaya menghubungi pemilik sebenar bayi di hospital berkenaan dan kedua-duanya menukar semula bayi masing-masing.

Rahmad berkata, kes tertukar bayi itu bagaimanapun diselesaikan dengan baik antara pihak hospital dan kedua-dua keluarga.

“Saya mewakili kerajaan negeri dan Jabatan Kesihatan negeri memohon maaf mengenai perkara itu dan berharap kejadian sama tidak berulang lagi,” katanya.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here