Kesan PKP: Pemilik bas sekolah jual kenderaan

0
121

KOTA BHARU: Seramai 214 pengusaha bas sekolah di Kelantan hilang punca pendapatan sejak hampir setahun lalu, berikutan penutupan sekolah akibat wabak COVID-19.

Ada dalam kalangan mereka terpaksa menjual van dan bas dengan harga yang jauh lebih rendah daripada harga pasaran, demi meneruskan kehidupan dan tidak mampu menampung kos operasi.

Pengerusi Persatuan Bas Sekolah Kelantan, Wan Mohamad Nuhairi Wan Hamat, berkata pengusaha bas sekolah kini amat terdesak berikutan kehilangan punca pendapatan.

“Kami seolah-olah sudah gulung tikar, apatah lagi jika penutupan sekolah terus disambung.

“Ada yang terpaksa menjual bas mereka kerana tidak mampu menampung kos operasi setiap bulan. Kami memohon pihak yang berkaitan, termasuk kerajaan negeri tampil membantu kami untuk meneruskan kehidupan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menerima bantuan daripada Program Sumbangan Musaadah Membabitkan Pemndu Bas dan Van oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) yang disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chempaka, Ahmad Fathan Mahmood.

Wan Mohamad Nuhairi berkata, antara keperluan pengusaha ialah kerajaan membantu dari segi memudahkan pinjaman bank.

“Sebelum ini ramai ahli terpaksa membuat pinjaman melalui syarikat kredit kerana bank enggan memberi pinjaman bagi pembelian bas sekolah.

“Keadaan itu menyebabkan pengusaha bas terpaksa menanggung kadar faedah yang tinggi,” katanya.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here