Ketidaktentuan politik reda, pasaran saham kembali atas 1,500 mata

0
28

KUALA LUMPUR: Pasaran saham tempatan kembali meningkatkan ke atas paras 1,500 mata dengan kenaikan 5.77 mata atau 0.39 peratus kepada 1,500.35 dalam sejam pertama dagangan pagi ini berikutan ketidaktentuan politik tempatan yang kembali reda.

Penanda aras, FBM KLCI yang dibuka rendah 1,491.99 kembali melonjak pada kira-kira jam 10 pagi dan peniaga umumnya berpendapat, pasaran akan mencatat lantunan teknikal untuk ditutup atas paras 1,500 mata hari ini.

Keputusan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menolak cadangan pengisytiharan darurat meredakan kegusaran pelabur dalam pasaran saham, sekali gus mengelak indeks utama mengalami penurunan drastik.

Katanya, lantunan itu adalah sesuatu dalam jangkaan setelah penanda aras dagangan, FBM KCLI mencatat penurunan dalam beberapa sesi dagangan sejak minggu lalu ekoran kebimbangan pelabur mengenai peningkatan risiko politik.

Kelmarin, katanya, keputusan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menolak cadangan pengisytiharan darurat meredakan kegusaran pelabur dalam pasaran saham, sekali gus mengelak indeks utama mengalami penurunan drastik.

Dalam pada itu, semalam UMNO memutuskan untuk terus menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yasin.

Keputusan itu dicapai menerusi mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Seorang lagi peniaga saham berkata, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) juga telah menyaksikan penyertaan pelabur runcit dalam pasaran saham tempatan kembali melonjak dengan kaunter berkaitan penjagaan kesihatan dan teknologi maklumat menjadi pilihan.

Menurut beliau, komitmen pelabur runcit di Bursa Malaysia kembali rancak dengan jumlah dagangan mencecah 10 bilion unit setiap hari.

“Saya melihat perkembangan ini akan berterusan dan berlanjutan.

“Sentimen ini pastinya akan memberi sokongan kepada indeks Bursa Malaysia untuk bertahan dan membuat lonjakan dalam tempoh terdekat,” katanya.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here