Ketua kampung bersubahat curi lembu

0
457

 

Tampin: Enam lelaki termasuk Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) atau ketua kampung ditahan polis kerana disyaki mencuri lembu di Kampung Sungai Dua, Gemencheh di sini, Isnin lalu.

Mereka yang ditahan masing-masing berusia antara 35 hingga 50 tahun.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tampin, Deputi Superintendan Ahmad Pilus Zainal berkata, kejadian 2.20 petang itu disedari pemiliknya berusia 70 tahun apabila terserempak dengan kenderaan pacuan empat roda dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, pemilik lembu berkenaan bersama dan anak lelakinya melihat lembu mereka di kawasan belukar berhampiran kandang ayam dan terserempak dengan kenderaan pacuan empat roda merah.

“Kenderaan itu dinaiki empat lelaki termasuk ketua kampung berkenaan. Pemiliknya menghalang kenderaan itu untuk memeriksanya.

“Bagaimanapun, pemilik lembu itu terkejut apabila melihat lembu jantan dengan keadaan terikat dan ditutup dengan kanvas berada di belakang kenderaan terbabit,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Ahmad Pilis berkata, berlaku pertengkaran antara pemilik dan suspek sebelum suspek melepaskan semula lembu berkenaan.

“Pemilik lembu itu kemudian membuat laporan polis dan enam lelaki termasuk seorang ketua kampung ditahan yang masing-masing berusia antara 35 hingga 50 tahun.

“Siasatan mendapati dua suspek mempunyai rekod kesalahan lampau mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan iaitu mencuri,” katanya.

Katanya, kesemua suspek kini direman tiga hari dari 13 Oktober sehingga esok untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 397 Kanun Keseksaan.

 

SUMBER: HARIAN METRO

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here