Klang dikurung.

0
75
ORANG awam dikehendaki memberikan kerjasama dan mengikut arahan anggota keselamatan sepanjang PKPB di zon merah. – GAMBAR HIASAN

PUTRAJAYA – Kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di empat kawasan zon merah iaitu Klang di Selangor, Sandakan, Papar dan Tuaran di Sabah selama 14 hari berkuat kuasa Jumaat ini.

PKPB itu melibatkan 879,867 penduduk di Klang, Sandakan (503,000), Papar (164,000) dan Tuaran (126,00). Empat kawasan itu baru diklasifikasikan sebagai zon merah kerana mempunyai lebih 40 kes positif Covid-19.

Sehubungan itu, semua masjid dan rumah ibadat serta ­institusi pendidikan termasuk sekolah, tadika, taska, pusat tahfiz dan pusat jagaan kanak-kanak diarah tutup.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia bagi membendung penularan Covid-19 di empat kawasan berkenaan serta membolehkan aktiviti pengesanan kes secara bersasar dilaksanakan.

Beliau berkata, pergerakan dari dan ke kawasan tersebut adalah tidak dibenarkan dan hanya perkhidmatan perlu termasuk kilang-kilang yang berkaitan dengan rantaian dibenarkan.

“Pihak Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri akan menyenaraikan jenis-jenis perkhidmatan perlu atau perniagaan lain yang terbabit dalam kawasan tersebut,” kata­nya pada sidang akhbar menerusi laman Facebook Kementerian Pertahanan di sini semalam.

Tambahnya, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia dan pihak berkuasa tempatan diberi kuasa untuk mengawal seluruh kawasan terlibat sepanjang tempoh PKPB.

Menurut Ismail Sabri, semua penduduk diminta bertenang dan memberi kerjasama kepada petugas-petugas dari Kementerian Kesihatan serta mematuhi arahan pihak berkuasa.

“Hanya premis perniagaan yang menyediakan perkhidmatan perlu dibenarkan beroperasi seperti kedai makan, kedai runcit, stesen minyak dan farmasi bagi tempoh 6 pagi hingga 6 petang,” katanya.

Ujar Ismail Sabri, waktu operasi klinik dan hospital kerajaan dan swasta dibenarkan secara 24 jam.

“Operasi pasar harian pula adalah antara 6 pagi hingga 2 petang sahaja, manakala operasi pasar malam, tamu, pasar borong dan pasar tani adalah tidak dibenarkan.

“Perniagaan bukan perkhid­matan lain juga hendaklah ditutup, manakala pembelian makanan hanya menggunakan kaedah pandu lalu, penghantaran dan bawa pulang sahaja. ­Khidmat penghantaran makanan dibenarkan beroperasi dari pukul 6 pagi hingga 8 malam sahaja,” katanya.

Beliau berkata, kenderaan yang membawa barangan ke­perluan pula dibenarkan keluar masuk dengan mendapatkan kebenaran polis.

“Perkhidmatan teksi dan e-hailing dibenarkan mengambil dua penumpang dari pukul 6 pagi hingga 8 malam sahaja.

“Perkhidmatan bas ekspres dan bas henti-henti tidak dibenarkan beroperasi. Bagi kes kecemasan adalah dibenarkan tetapi perlu mengemukakan permohonan,” katanya.

Menurutnya lagi, penduduk yang bekerja tidak dibenarkan keluar dari kawasan dan tidak boleh bekerja sepanjang tempoh PKPB justeru, majikan hendaklah mematuhi perintah ini dan membenarkan pekerja bercuti atau bekerja dari rumah.

“Kebenaran untuk bekerja hanya bagi perkhidmatan perlu dengan mendapat kelulusan polis,” katanya.

 

SUMBER – KOSMO

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here