Kompaun, hukuman lebih berat jika dihadapkan ke mahkamah

0
66

KUALA LUMPUR: Kompaun dan hukuman lebih berat boleh dikenakan terhadap mana-mana pihak termasuk orang kenamaan (VIP) yang melanggar kuarantin wajib selepas polis menjalankan siasatan lanjut.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, menegaskan keperluan menjalani kuarantin di rumah adalah sebahagian daripada prosedur operasi standard (SOP) yang tidak memberi pengecualian kepada sesiapa.

Sehubungan itu, katanya, mana-mana pihak yang didapati melanggar perintah mengikut peruntukan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) itu bakal berdepan tindakan setimpal.

“Berhubung SOP yang dilanggar, ingin saya tegaskan, tiada sesiapa terlepas daripada undang-undang kerana ia dibuat untuk selamatkan negara dan nyawa manusia.

“Kalau kita lihat, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) sendiri menjalani kuarantin di rumah.

“Berdasarkan Seksyen 25 Akta 342, kompaun maksimum ialah RM1,000 tetapi terpulang kepada agensi seterusnya, iaitu polis dan peguam kalau kes dihadapkan ke mahkamah, menerusi peruntukan Seksyen 24, mereka akan buat keputusan selayaknya tanpa mengira sesiapa pun,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Nik Nazmi Nik Ahmad (PKR-Setiawangsa) mengenai sama ada tindakan lebih berat akan dikenakan terhadap individu yang melanggar SOP, khususnya membabitkan VIP seperti menteri kerana kedudukan sedemikian menjadi contoh di mata rakyat.

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here