Kompaun RM10,000: Pemuda BN sedia bantuan guaman percuma

0
103

KUALA LUMPUR: Sekretariat Perundangan dan Peguam Muda Barisan Nasional (BN) ditubuhkan bagi menawarkan khidmat guaman percuma kepada individu yang merasakan dirinya dianiyai akibat tindakan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Bersyarat dan Pemulihan.

Pengerusi Pemuda BN, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, bantuan guaman itu hanya membabitkan kesalahan-kesalahan kecil seperti tidak mengimbas aplikasi MySejahtera bagi memasuki premis.

Katanya, sekretariat ditubuhkan selepas pihaknya menerima banyak aduan daripada rakyat akibat amaun kompaun berjumlah RM10,000 yang dirasakan sangat membebankan mereka.

“Walaupun Pemuda BN percaya tindakan tegas seharusnya diambil terhadap individu yang melanggar SOP, tetapi jumlah RM10,000 satu amaun sangat besar bagi sesetengah golongan yang kini bergelut soal survival ekonomi akibat merebaknya wabak ini.

“Tawaran diberikan Sekretariat Pemuda BN ini meliputi nasihat guaman dan representasi peguam kepada Kementerian Kesihatan (KKM) bagi membuat rayuan pengurangan kompaun bagi kesalahan membabitkan PKP,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook beliau hari ini.

Katanya, sebarang aduan atau permohonan terhadap khidmat guaman ini boleh mengisi butiran di dalam pautan link khusus, http://bit.ly/BantuanKompaunPemudaBN

“Pemuda BN turut menyediakan dua talian hotline yang beroperasi untuk orang ramai memberikan maklum balas atau aduan di talian 013-7354116 dan 013-7354117,” katanya.

Dalam pada itu, Asyraf berkata Pemuda BN tetap berpendirian, kerajaan perlu menilai kembali tindakan mengenakan kompaun RM10,000 secara pukal.

“Satu garis panduan yang terperinci wajar dikemukakan supaya hukuman yang dikenakan dikira setimpal dengan tahap keseriusan setiap kesalahan,” katanya.

Isu kompuan RM10,000 yang dikenakan pihak berkuasa termasuk dari petugas KKM sebelum ini menjadi bahan perbualan di media sosial, dengan ramai pihak mendakwa kompaun setinggi itu keterlaluan, terutama bagi kesalahan pertama.

Ramai netizen di media sosial juga berkongsi dokumen kompaun RM10,000, menunjukkan antara kesalahan yang kerap dikenakan termasuk kegagalan mengimbas aplikasi MySejahtera serta tidak memakai pelitup muka di tempat awam. -ends.

sumber: berita harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here