Kos baharu ECRL lebih rendah daripada asal

0
150

PUTRAJAYA: Kos pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) 3.0 adalah lebih rendah berbanding dengan kos asal pembinaan Fasa 1 dan Fasa 2 ketika projek infrastruktur mega itu dilancarkan pada 2017.

Menteri Pengangkutan (MOT), Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata pembinaan ECRL melalui Jajaran Utara yang kembali kepada jajaran asal diluluskan pada 2017, adalah RM50 bilion.

Beliau berkata, anggaran kos itu juga adalah lebih rendah berbanding dengan anggaran kos pembinaan ECRL 2.0 yang melalui Jajaran Selatan jika disertakan dengan pelaksanaan berasingan pembinaan Serendah Bypass iaitu sebanyak RM52.28 bilion.

“Walaupun pelaksanaan ECRL diubah kepada Jajaran Asal iaitu Jajaran Utara, projek ECRL secara keseluruhan masih boleh disiapkan dalam masa tujuh tahun dan mula beroperasi pada 2027.

“Buat masa ini, pembinaan ECRL sedang berjalan pada tahap yang memberansangkan iaitu 21.39 peratus setakat Mac 2021.

“Kerja pembinaan sedang rancak dijalankan dan bertumpu di Seksyen A (Kota Bharu-Dungun) dan Seksyen B (Dungun-Mentakab),” katanya pada sidang media khas ECRL di sini hari ini.

Anggaran penggunaan penumpang ECRL 3.0 dianggarkan pada 5.03 juta penumpang menjelang 2027 manakala anggaran penggunaan kargo pada 26.12 juta tan.

Ka Siong berkata, dianggarkan lebih daripada 300 lokasi kerja yang merangkumi hampir keseluruhan jajaran untuk Seksyen A dan B akan dimulakan dan membabitkan kerja utama seperti kerja-kerja tanah, kerja-kerja pembinaan jambatan dan juga kerja-kerja terowong yang akan memasuki waktu puncak pembinaan.

Beliau berkata, MOT amat optimis bahawa pelaksanaan Jajaran Utara akan terus menjadikan ECRL sebagai pemangkin kepada infrakstrutur negara yang akan membantu menghubungkan bandar-bandar di negeri Pantai Timur dan Lembah Klang selain membantu menaik taraf sistem pengangkutan awam di kawasan luar bandar.

Malah, katanya, Jajaran Utara akan memberi rangkaian perhubungan yang lebih baik antara ECRL dan Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) di Mentakab, Serendah, dan Jalan Kastam (Pelabuhan Klang) serta menghubungkan ke rangkaian LRT di stesen ITT Gombak.

“Secara tidak langsung, Jajaran Utara ini amat banyak kelebihan kepada Selangor terutama dengan pembinaan bilangan stesen yang lebih banyak sebanyak lima stesen di Selangor.

“Selain itu, tumpuan limpahan ekonomi turut akan dirasakan di Gombak, Serendah, dan Pelabuhan Klang,” katanya.

Ka Siong berkata, dengan pelaksanaan semula Jajaran Utara, ECRL akan menyediakan perkhidmatan pengangkutan kargo dan penumpang yang lebih terancang di antara Pantai Timur dan Pantai Barat Semenanjung Malaysia, menarik pelaburan di sepanjang koridor jajaran serta menjana banyak perniagaan dan peluang pekerjaan.

Beliau berkata, secara ringkasnya, pelaksanaan Jajaran Utara adalah pilihan yang lebih baik kerana ia memberi pencapaian yang lebih besar untuk rangkaian rel negara dalam masa jangka panjang.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here