KPDNHEP akan kemukakan permohonan lanjutkan waktu operasi kedai makan

0
156

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengemukakan permohonan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya waktu operasi peniaga makanan dilanjutkan sehingga jam 12 tengah malam di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kerajaan ketika ini membenarkan operasi peniaga makanan dilanjutkan sehingga jam 10 malam, berbanding 8 malam sebelum ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid, berkata permohonan itu merangkumi operasi restoran, kedai, gerai, kenderaan saji, selain kebenaran untuk pelanggan makan di dalam premis.

“Permohonan (melanjutkan tempoh operasi perniagaan) ini adalah untuk memastikan ekonomi pengusaha makanan tidak terjejas.

“Saya mendapat banyak aduan daripada peniaga menyatakan perniagaan mereka terjejas susulan pelaksanaan PKP, dan berharap permohonan ini diterima oleh kerajaan,” katanya selepas mengadakan lawatan ke tapak jualan makanan kenderaan saji di Presint 2, di sini.

Lawatan bertujuan melihat secara lebih dekat operasi perniagaan kenderaan saji serta berkongsi pendapat bersama peniaga itu turut membabitkan tapak jualan makanan kenderaan saji di Presint 15 dan Cyberjaya.

Yang turut hadir, Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP, Azman Adam.

Rosol berkata, beliau yakin kerajaan akan memperhalusi permohonan berkenaan untuk peniaga meneruskan perniagaan masing-masing dalam tempoh waktu yang sukar ketika ini.

“Kita (KPDNHEP) juga akan melaksanakan beberapa penambahbaikan bagi membantu mengurangkan beban ekonomi ke atas peniaga sepanjang tempoh getir ini.

“Sebagai kementerian yang bertanggungjawab mengawal selia aktiviti perdagangan domestik, usaha ini juga adalah sebahagian daripada bentuk sokongan terhadap peniaga untuk terus kekal yakin berniaga dengan mengadaptasi norma baharu,” katanya.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here