KPDNHEP selaras SOP Am sektor peruncitan bagi kawasan PKP, PKPB dan PKPP

0
91

PUTRAJAYA: Penambahbaikan dan pengemaskinian prosedur operasi standard (SOP) Am sektor peruncitan sudah diselaraskan dengan kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP).

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dah Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata ia bertujuan memastikan semua syarikat peruncitan, pemborongan dan pengedaran dapat mematuhi SOP berkenaan.

Justeru, beliau berkata, KPDNHEP meminta kerjasama komuniti perniagaan peruncitan, pemborongan, pengedaran dan pengguna yang masih berada di kawasan PKP agar memastikan SOP Sektor Perdagangan Pengedaran dapat dipatuhi sepenuhnya.

“KPDNHEP juga mengingatkan bahawa tindakan tegas akan diambil termasuk kompaun dan penutupan premis perniagaan sekiranya mana-mana pihak gagal mematuhi SOP ditetapkan.

“Kementerian berharap agar semua syarikat peruncitan, pemborongan, pengedaran dan pengguna sentiasa mengamalkan langkah-langkah pencegahan COVID-19 dan amalan kesihatan yang baik agar pembukaan aktiviti ekonomi bawah Sektor Pengedaran, Perdagangan dapat dipertahankan dalam mengimbangi keperluan antara kelangsungan ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaksanaan PKP Pemulihan (PKPP) bagi Perlis; PKP Bersyarat (PKPB) bagi Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Terengganu, Perak, Sabah, Sarawak serta Wilayah Persekutuan Labuan dan Putrajaya.

Bagaimanapun, pelaksanaan PKP kekal bagi Johor, Pulau Pinang, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Alexander berkata, penambahbaikan SOP Am peruncitan bagi aktiviti restoran di kawasan PKP, PKPB dan PKPP secara makan di premis dibenarkan berdasarkan saiz meja dengan penjarakan sekurang-kurangnya satu meter.

Bagi aktiviti pakaian, fesyen dan aksesori berkaitan aktiviti acu baju (fitting) dan bilik acu baju (fitting room) tidak dibenarkan dengan menyediakan penggunaan sarung tangan pakai buang di kawasan PKP.

Bagi kawasan PKPP dan PKPB aktiviti acu baju (fitting) dan bilik acu baju (fitting room) dibenarkan tanpa menggunakan sarung tangan pakai buang.

“Aktiviti kedai cermin mata dan barangan optik tidak dibenarkan secara bersemuka (pembelian dan pembaikan sahaja) di kawasan PKP dan bagi kawasan PKPP dan PKPB rundingan secara bersemuka dibenarkan.

“Penggunaan ‘testers’ dan rundingan tidak dibenarkan di kedai kosmetik, penjagaan kulit dan minyak wangi (pembelian sahaja) di kawasan PKP tetapi dibolehkan di kawasan PKPP dan PKPB manakala hanya gunting rambut asas saja dibenarkan kedai gunting rambut, hair dresser dan salon kecantikan.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here