KPKT kaji senarai hitam penyewa PPR culas – Zuraida

0
38

JOHOR BAHRU, 6 Julai  — Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang mengkaji untuk menyenaraihitamkan penyewa Program Perumahan Rakyat (PPR) yang culas membayar sewa, di bawah Agensi Pelaporan Kredit (CRA) termasuk CTOS.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata langkah bagi mengkaji perkara itu merupakan antara perkara yang akan diperincikan di bawah Akta Pengurusan Strata 757 (Akta 757) dalam tempoh tiga bulan ini.

Beliau berkata akta itu membolehkan pengurusan sesebuah rumah strata untuk memasukkan cukai tanah dan insurans dalam caj penyelenggaraan serta membolehkan pemilik yang tidak membayar sewa dalam tempoh 12 bulan dikenakan faedah.

“Akta 757 ini sudah ada dalam undang-undang tetapi apabila tidak dikuatkuasakan, ia tidak berjaya dilakukan (penguatkuasaan).

“Perbadanan pengurusan penduduk boleh guna (Akta 757) tetapi mungkin kerana tidak mahir dengan undang-undang dan tidak faham, jadi kita akan permudahkan supaya mereka boleh laksana pengurusan dengan lebih baik,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Pejabat Sekretariat Muafakat Komuniti (PSMK) di PPR Desa Mutiara, Tebrau, di sini hari ini.

Zuraida berharap agar usaha bagi memperincikan Akta 757 itu juga dapat membantu perbadanan pengurusan penduduk dalam melakukan penguatkuasaan.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai sama ada penyewa culas akan disenaraikan dalam CTOS, antara peneraju CRA di Malaysia.

Pada Oktober tahun lepas, tunggakan bayaran sewa membabitkan Projek Perumahan Awam (PPA) dan PPR di negara ini dilaporkan mencecah RM58 juta.

Sumber– BERNAMA

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here