KPM sentiasa perhalusi, teliti kaedah PdPR

0
83

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) sentiasa memperhalusi dan meneliti kaedah pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) secara norma baharu bagi memastikan semua pihak terutama pelajar mendapat manfaat penuh.

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Operasi Sekolah), Datuk Adzman Talib, berkata PdPR membabitkan hampir lima juta pelajar dan 500,000 guru wajar dilakukan secara terbaik.

“Sebenarnya untuk menutup sekolah dan melaksana PdPR ini adalah perkara sukar dan keputusan amat berat dilakukan KPM.

“Seharusnya pelajar berada di sekolah melaksana pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka dengan guru mereka.

“Itu kebiasaan dilakukan dan mereka (pelajar) cukup selesa dengan keadaan itu tetapi datangnya cabaran COVID-19, guru perlu bersedia melaksana PdPR dengan mematuhi garis panduan dan SOP (prosedur operasi standard) ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Selamat Pagi Malaysia (SPM) disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) secara langsung, pagi ini.

Ditanya perbezaan manual garis panduan pengurusan dan pengoperasian sekolah norma baharu dikeluarkan masing-masing pada 5 Oktober 2020 dan 9 Februari lalu, Adzman berkata, manual baharu 2.0 itu lebih bersifat komprehensif dan menyeluruh merangkumi aspek peperiksaan, kurikulum dan keselamatan.

“Garis panduan 2.0 itu dikeluarkan dengan perbincangan komprehensif dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dan mendapat kelulusan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Kita perjelas lagi beberapa perkara menerusi manual baharu itu termasuk keselamatan guru, pelajar dan warga sekolah.

“Bagaimana kita mahu mempertingkatkan segala SOP sepenuhnya dalam keadaan lebih ketat dan kaedah mahu kendali individu dikenal pasti positif COVID-19, semua perkara ini diperhalusi,” katanya.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here