‘Kunci’ harga ayam akan dilaksana jika perlu

0
110

KUALA NERUS: Kerajaan tidak akan teragak-agak melaksanakan harga siling ayam sekiranya pembekal dan peniaga terus menaikkan harga bahan mentah itu tanpa sebab yang munasabah, kata Tmbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid.

Beliau berkata kerajaan ambil maklum rungutan orang ramai mengenai kenaikan harga ayam di pasaran yang mencecah hingga RM9.60 sekilogram di pasar awam di Pulau Pinang.

Katanya pihak kementerian akan mencari jalan untuk mengatasi masalah tersebut dengan mengadakan perbincangan bersama pihak industri bagi meneliti semua aspek termasuk kos penternakan yang dikatakan menjadi punca pembekal menaikkan harga.

“Daripada apa yang difahamkan oleh pihak industri, kenaikan harga ayam hari ini disebabkan bekalan anak ayam yang kurang dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Ia menyebabkan tiada bekalan ayam sedangkan permintaan pula tinggi.

“Tetapi jika harga naik sangat melampau, kita akan ‘kunci’ (tetapkan harga siling) pada kadar yang munasabah,” katanya kepada pemberita selepas melawat kilang HDA Poultry Sdn Bhd di sini, hari ini. Turut serta Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad.

“Kementerian  juga sedang mengkaji faktor harga ayam di pasar raya besar boleh dijual pada kadar lebih rendah berbanding lain-lain tempat sedangkan bekalan diperoleh daripada sumber yang sama,” katanya.

Rosol berkata kementerian akan menyelesaikan segera isu kenaikan harga ayam pada awal bulan depan dan beliau turut memberi jaminan bekalan ayam mencukupi untuk perayaan Aidiladha nanti.

Katanya KPDNHEP  telah mengeluarkan 529 notis kepada pengilang, pembekal dan peruncit ayam di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 sejak 18 Jun lepas.            

Sumber: BERNAMA

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here