Lans Koperal ditahan bersongkol seludup dadah

0
30

JOHOR BAHRU: Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal ditahan Khamis lalu, dipercayai bersekongkol dengan sindiket penyeludupan dadah antarabangsa yang menjadikan Muar sebagai lokasi menyeludup keluar bahan itu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata anggota polis berusia 40 tahun dan bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar itu ditahan susulan tangkapan tiga suspek sindiket berkenaan pada 6 Jun lalu.

Katanya, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Daerah Muar bersama Pasukan Polis Marin (PPM)Wilayah Dua melancarkan operasi khas dadah membabitkan serbuan di sekitar daerah berkenaan.

“Semuanya bermula pada 1 Jun lalu apabila Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) merampas 25 kilogram (kg) syabu dan 14 kilogram ecstasy di Pantai Muara Parit Samsu, Muar namun dua suspek terbabit berjaya melepaskan diri.

“Susulan itu, satu operasi khas dilancarkan 6 Jun lalu oleh BSJN Daerah Muar bersama PPM Wilayah Dua bagi mengesan dua suspek berkenaan sebelum kedua-duanya termasuk seorang lagi suspek yang semuanya orang tempatan bersama sejumlah rampasan dadah.

“Hasil soal siasat terhadap tiga suspek berkenaan membawa kepada penahanan seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal dari IPD Muar yang dipercayai bersekongkol dengan sindiket penyeludupan dadah antarabangsa pada Khamis lalu.

“Empat suspek berkenaan berusia antara 23 hingga 40 tahun,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, hasil siasatan awal mendapati, sejumlah 33 kg syabu dipercayai dibawa dari Utara Semenanjung ke Muar untuk diseludup ke Indonesia menerusi jalan laut.

“Daripada jumlah itu, 25 kg syabu sudah dirampas PPM Wilayah Dua 1 Jun lalu dan polis masih mengesan enam kg lagi syabu bersama dua anggota sindiket berkenaan yang masih bebas.

“Dalam serbuan 6 Jun lalu, polis merampas 2.1 kg syabu bernilai RM84,000 dan sebuah kereta dengan nilai RM10,000,” katanya.

Ayob Khan berkata, anggota polis berkenaan disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985 (LLPK).

Katanya, tiga lagi suspek terdahulu disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 39A(2) dan Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dengan kesemuanya direman 11 hari.

Beliau berkata, dua suspek yang ditahan juga didapati positif dadah dan mempunyai empat rekod lampau kesalahan berkaitan dadah.

Dalam operasi berasingan di Seri Alam pada Ahad dan Isnin minggu lalu, Ayob Khan berkata, lima lagi lelaki warga tempatan berusia 25 hingga 29 tahun berjaya ditahan berikutan terbabit dalam aktiviti sindiket pengedaran dadah.

“Hasil operasi khas BSJN Daerah Seri Alam itu berjaya membuat rampasan 9.135 kg ganja,36.13 gram syabu dan dua liter air ketum dengan nilai keseluruhan RM26,470.50 selain tiga buah kereta mewah, sebuah motosikal dan wang tunai RM850 yang membawa nilai RM394,850.

“Semua lima suspek juga direman 11 hari dan disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 39A(2) dan Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Sumber: BERITA HARIAN

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here