Lapan gajah liar dipindahkan

0
144

Jerantut: Lapan gajah berumur antara lapan hingga 30 tahun yang berkeliaran dalam ladang kelapa sawit dan kebun pisang di Kampung Doja dan Rebus, di sini, berjaya ditangkap dalam operasi sejak minggu lalu.

Ketua Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Lanchang, Muhammad Khairul Adha Mat Amin berkata, tangkapan dilakukan bagi memastikan haiwan terbabit tidak memusnahkan tanaman penduduk.

Katanya, gajah itu adalah sebahagian daripada kumpulan lebih besar antara 20 ke 25 ekor dipercayai datang dari Hutan Simpan Tekam dan Hutan Simpan Tekai.

“Selepas menjejak kumpulan haiwan itu, akhirnya kakitangan PKGK Kuala Gandah berjaya menangkap lapan gajah.

“Tiga hari lalu, kita menghantar dua gajah ke Hutan Simpan Tembat, Terengganu dan hari ini kita menghantar tiga lagi gajah iaitu dua betina dan seekor jantan ke sana,” katanya selepas melakukan kerja pemindahan gajah di Kampung Ulu Retang ke Hutan Simpan Tembat.

Muhammad Khairul Adha berkata, semua gajah itu akan dipindahkan secara berperingkat.

Beliau berkata, pihaknya akan terus memantau kumpulan gajah terbabit bagi memastikan ia tidak kembali ke kawasan ladang kelapa sawit dan kebun penduduk.

“Tiga gajah denak dari PKGK iaitu Abot, Rambai dan Alam digunakan dalam operasi pemindahan itu yang turut membabitkan 25 kakitangan PKGK Kuala Gandah dibantu anggota Unit Tangkapan Gajah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang,” katanya.

Sumber: Harian Metro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here