Lebih 100 lokasi telah dinyah cemar di Kedah

0
41

ALOR SETAR, 21 April — Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah telah menjalankan proses nyah cemar di lebih 100 lokasi di Kedah dalam usaha untuk menangani penularan wabak COVID-19.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar Timbalan Penguasa Bomba Ahmad Naufal Abdullah berkata proses nyah cemar tersebut dilakukan di pasar awam, bangunan kerajaan, lapangan terbang dan beberapa kawasan tumpuan yang lain.

Beliau berkata proses nyah cemar di lokasi yang menjadi tempat orang ramai berurusan itu membabitkan permukaan yang sering disentuh oleh orang ramai seperti tombol pintu, lif dan kaunter perkhidmatan.

“Ada lagi beberapa lokasi yang akan dijalankan proses sanitasi awam di negeri ini dan kita akan melakukannya secara berperingkat untuk mencegah penularan wabak COVID-19 ini,” katanya kepada pemberita selepas proses nyah cemar di Bangunan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Kedah di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengarah JPN Kedah Yusman Hambali Ahmad berkata pihaknya meminta JBPM melakukan proses nyah cemar itu kerana agensi tersebut masih beroperasi dan menerima kedatangan orang ramai atas pelbagai urusan walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berjalan.

“Beberapa urusan masih dijalankan yang melibatkan penggantian kad pengenalan yang rosak atau hilang, namun ia perlu melalui temu janji yang telah dibuat dengan JPN. Bagi masyarakat yang benar-benar memerlukan khidmat JPN mereka boleh menghubungi talian 04-7314585 untuk mengatur temu janji.

“Dianggarkan JPN menerima antara 40 hingga 50 pelanggan sehari. Bagaimanapun, JPN mengambil langkah berjaga-jaga dengan hanya membenarkan lima pelanggan berada di dalam pejabat pada satu masa, menjaga jarak dan pemeriksaan suhu badan akan dibuat terlebih dahulu,” katanya.

Sumber– BERNAMA

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here