Lebih 200,000 pelajar terima manfaat Tuisyen Cikgu Saarani

0
108

IPOH: Lebih 200,000 pelajar dari keluarga miskin dan berpendapatan rendah (B40) menerima manfaat menerusi pelaksanaan Program Tuisyen Cikgu Saarani (TCS) di Perak.

Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad, berkata program itu merangkumi lima inisiatif dan bantuan khusus iaitu tuisyen dan kelas tambahan, bantuan khas makanan, program latih tubi, seminar dan penyediaan bahan pengajaran interaktif.

Beliau berkata, program yang bermula sejak Isnin lalu bertujuan membantu pelajar yang bakal menduduki peperiksaan utama, termasuk seramai 40,642 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020, selain 37,894 pelajar menduduki peperiksaan utama pada tahun ini.

“Kita (kerajaan negeri) turut membantu seramai 30,320 pelajar Tingkatan Empat, pelajar Tingkatan Satu (31,761) dan murid Tahun Satu (31,742).

“Jabatan Pendidikan negeri pula akan menyediakan guru dan tenaga pengajar yang memberikan kelas tuisyen atau kelas tambahan,’ katanya pada sidang media secara maya hari ini.

Bagi program tuisyen, ia hanya merangkumi empat mata pelajaran teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sejarah.

Yang turut hadir, EXCO Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Saidi Mohamad Daud dan Pengarah Pendidikan negeri, Dr Mohd Suhaimi Mohamed Ali.

Saarani berkata, untuk permulaan kerajaan negeri memperuntukkan RM2.7 juta bagi bantuan khas makanan kepada 35,639 calon SPM yang menghadiri sesi persekolahan dan kelas tambahan di sekolah sebagai persiapan akhir menjelang peperiksaan.

Katanya, calon terbabit diberikan makanan tengah hari bernilai RM5 secara harian selama tempoh 15 hari sehingga mereka menduduki peperiksaan yang dijadualkan bermula pada 22 Februari ini.

“Ia membabitkan sebanyak 244 sekolah menengah harian dengan 488 guru yang turut berhak menerima bantuan makanan itu,’ katanya.

Sementara itu, Ahmad Saidi berkata, bantuan khas makanan itu tidak membabitkan calon atau pelajar dari sekolah berasrama memandangkan pelajar dari golongan itu sedia menerima bantuan makanan daripada kerajaan.

“Program secara tidak langsung memanfaatkan pengusaha kantin sekolah di negeri ini yang rata-ratanya terjejas akibat kemerosotan kehadiran pelajar ke sekolah susulan pandemik COVID-19,” katanya.

Sumber : Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here