Lima sekeluarga terhumban ke parit, dua beranak maut

0
452

KEPALA BATAS: Perjalanan lima sekeluarga menziarahi sanak-saudara bertukar tragedi apabila dua daripada mereka maut selepas kereta yang dinaiki terbabas, sebelum terhumban ke parit sedalam empat meter di Kilometer 119 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dekat Bertam, di sini, malam tadi.

Mereka berlima yang menaiki kereta jenis Proton Exora dalam perjalanan dari Taiping, Perak ke Sungai Petani, Kedah.

Bagaimanapun, ketika tiba di tempat kejadian jam 10.45 malam pemandu kereta berkenaan, Muhammad Ruszamil Mohd Fazil, 20, dipercayai gagal mengawal kenderaan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata kereta yang dinaiki lima sekeluarga itu terbabas sebelum terhumban ke parit, menyebabkan Muhammad Ruszamil dan ibunya, Rusnah Osman, 60, yang duduk di tempat penumpang belakang, maut di tempat kejadian.

Katanya, tiga lagi mangsa iaitu dua abang pemandu, Mohd Fairus, 36, dan Muhammad Faizul, 30, serta anak saudaranya, Muhammad Faizureen Abdul Muhaimin, 2, cedera parah.

“Berdasarkan siasatan lima sekeluarga itu dalam perjalanan untuk menziarahi ahli keluarga sebelum kereta dinaiki mereka terbabit kemalangan.

“Kelima-lima mangsa terperangkap dalam kereta dan dua daripada mereka diselamatkan orang awam manakala tiga lagi dikeluarkan oleh anggota bomba,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Noorzainy berkata, anggota bomba mengambil masa kira-kira 40 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kenderaan itu.

“Sebaik dikeluarkan pasukan perubatan yang berada di lokasi mendapati dua beranak itu sudah meninggal dunia. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kepala Batas (HKB) untuk bedah siasat,” katanya.

Dua mangsa yang cedera parah dikejarkan ke hospital sama untuk rawatan manakala seorang lagi dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Kedah.

Sumber: Berita Harian

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here