Mahkamah Syariah tiada kuasa bicara wanita Indonesia murtad

0
268

IPOH: Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa membicarakan kesalahan seorang wanita warga Indonesia yang didakwa dimurtadkan seorang lelaki tempatan seperti video yang tular baru-baru ini, jika ia dilakukan di luar Malaysia.

Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Mohd Na’im Mokhtar, berkata ia kerana Mahkamah Syariah hanya boleh membicarakan kesalahan yang dilakukan termasuk warga asing beragama Islam jika dilakukan dalam negara.

“Seperti diketahui bidang kuasa Mahkamah Syariah hanya terbatas kepada individu beragama Islam. Bagaimanapun bidang kuasanya tidak melihat kepada kerakyatan warga negara individu yang dikenakan sesuatu dakwaan.

“Asalkan kesalahan berkenaan dilakukan dalam negara ini maka seseorang individu termasuk warga asing yang beragama Islam tetap boleh dikenakan tindakan mengikut Enakmen Jenayah Syariah,” katanya kepada media selepas selesai prosiding pertama Mahkamah Utama Syariah (MUS) Negeri Perak di Mahkamah Syariah Negeri Perak, hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pendaftar Jabatan Kehakiman Syariah Perak, Ab Rahman Thobroni Mohd Mansor.

Terdahulu, media melaporkan lelaki yang memurtadkan wanita itu disiasat polis mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 298 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 505(C) KK, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.

Mohd Na’im yang juga Ketua Hakim Syarie berkata, biarpun bukan beragama Islam, namun siasatan terhadap lelaki yang memurtadkan wanita itu dibuat atas dasar kesalahan yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan seperti menghasut masyarakat.

Melalui video yang tular itu, lelaki berkenaan memberitahu cara untuk lelaki bukan Islam mengahwini wanita Islam adalah dengan menukarkan agama wanita yang ingin dikahwini itu di negara lain terlebih dahulu.

Sementara itu, Mohd Na’im berkata, prosiding MUS yang dikelolakannya hari ini disifatkan bersejarah dengan mencapai keputusan penuh merit rayuan yang pertama sejak sidang pertamanya pada 16 Julai tahun lalu.

Beliau berkata, prosiding yang turut dihadiri hakim MUS, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin, hari ini membenarkan rayuan perayu berkaitan bantahan awal terhadap rayuan harta sepencarian di Mahkamah Rayuan Syariah (MRS).

Untuk rekod, MUS adalah hirarki tertinggi Mahkamah Syariah yang mempunyai bidang kuasa mendengar rayuan daripada keputusan MRS.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here