Malaysia kekal komited sebagai destinasi pelaburan berdaya saing.

0
69

KUALA LUMPUR: Pelabur tempatan dan antarabangsa kekal optimis untuk mengekalkan pelaburan mereka di Malaysia meskipun negara mencatatkan pertumbuhan yang kurang memberangsangkan pada suku kedua, kata Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata komitmen kerajaan melalui pakej rangsangan ekonomi berjumlah RM295 bilion di bawah pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, penurunan kadar pengangguran dan kejayaan menangani penularan pandemik COVID-19, telah mengukuhkan keyakinan pelabur dan komuniti perniagaan terhadap Malaysia.

Katanya unjuran Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) bahawa Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada sekitar 6.3 peratus hingga 7.5 peratus bagi 2021 turut menyumbang kepada sentimen pelabur terhadap negara.

“Walaupun ini hanya satu unjuran, tetapi ia menunjukkan tahap keyakinan pelabur asing dan tempatan terhadap Malaysia dan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Oleh itu, untuk mencatatkan satu pertumbuhan positif seperti yang diunjurkan oleh IMF dan Bank Dunia, kita perlu mencerdaskan ekonomi negara dari sekarang,” katanya selepas merasmikan Majlis Sambutan Bulan Kebangsaan 2020 di sini hari ini.

Beliau yang turut melancarkan Kempen Kesedaran COVID-19 peringkat kementerian, menggesa syarikat di Malaysia untuk bersetuju dengan Akujanji Pematuhan SOP dalam sistem pangkalan data MITI – CIMS 3.0, selain mengisytiharkan maklumat syarikat dengan mendaftar dalam sistem berkenaan.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin berkata kerajaan terus komited untuk mengekalkan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang berdaya saing, sekali gus menarik minat lebih ramai pelabur asing untuk melabur dalam negara terutamanya dengan kemelut konflik perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China.

Katanya beliau yakin dengan perkembangan dan usaha yang dilakukan oleh kerajaan, ekonomi Malaysia akan kembali ke landasan yang lebih baik pada 2021.

Ekonomi Malaysia menguncup 17.1 peratus pada suku kedua 2020, merosot dua angka bagi suku tahun yang terburuk sejak 1998 berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang tidak dijangka untuk membendung penularan COVID-19 dan menyaksikan ekonomi hampir tidak bergerak.

Setakat 31 Mei lalu, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berjaya menarik 32 projek dengan nilai pelaburan RM17.5 bilion, membabitkan penempatan semula syarikat asing yang terjejas akibat konflik dagangan AS-China.

Ia daripada khidmat fasiliti ditawarkan MIDA terhadap 86 syarikat dari China dan pelbagai negara lain bagi penempatan semula ke Malaysia.

Daripada 32 projek itu, sebanyak 28 projek dengan pelaburan berjumlah RM8.36 bilion telah diluluskan manakala empat projek dengan pelaburan bernilai RM9.14 bilion masih dalam proses penilaian.

– Bernama

SUMBER:BERITA HARIAN

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here