Malaysia miliki asas kukuh pulih semula ekonomi

0
111

Kuala Lumpur: Setahun berlalu menampilkan bukan calang-calang cabaran terhadap pertumbuhan ekonomi negara, seiring kesuraman peringkat global berdepan tamparan hebat pandemik COVID-19.

Keyakinan kerajaan pentadbiran Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, memperkenalkan pelbagai pakej rangsangan ternyata membantu kelangsungan hidup rakyat, sekali gus menjana semula ekonomi domestik yang perlahan-lahan menemui rentaknya.

Menyifatkan pergerakan diatur berada di landasan betul, Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Muhammad Daaniyall Abd Rahman, berkata Malaysia mempunyai asas kukuh untuk memberi impak dalam usaha memulihkan ekonomi.

Katanya, pembukaan semula dan pengukuhan pasaran domestik memadai untuk memulihkan ekonomi buat masa ini kerana ia banyak dijana oleh sektor tempatan.

“Semua pihak mengakui 2020 adalah tahun mencabar walaupun penguncupan ekonomi mula dikesan sejak akhir 2019 apabila eksport negara mencatat sedikit penurunan dan dikeruhkan dengan permulaan COVID-19, disusuli Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Bagaimanapun, pencapaian kita masih baik sejurus sektor ekonomi dibuka semula pertengahan Jun lalu dan banyak perubahan positif dilihat dalam pergerakan ekonomi negara.

“Bagi 2021, kita jangka proses pemulihan ekonomi akan berlaku lebih cepat dan permulaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan semestinya akan merancakkan pasaran ekonomi,” katanya ketika dihubungi BH, semalam.

Muhammad Daaniyall menyarankan kerajaan mempertimbangkan cadangan pembukaan semula sempadan antarabangsa, terutama bagi rantau ASEAN untuk merancak pasaran ekonomi menjelang 2022.

Katanya, pengaktifan semula ekonomi serantau adalah sejajar resolusi dalam Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) dan Ekonomi Digital di peringkat ASEAN.

“Ia boleh menjadi langkah pertama pemulihan ekonomi dalam skala lebih besar dan kerajaan wajar mengambil peluang perkembangan di negara serantau untuk meraih keyakinan pelabur asing,” katanya.

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, turut melihat ekonomi negara berada di landasan baik untuk kembali mengukuh walaupun situasi semasa cukup mencabar.

Beliau berkata, nilai ringgit kelihat terus menguat berbanding dolar Amerika Syarikat, sekali gus memberi kesan positif kepada lebihan dagangan negara yang mencatat jumlah tertinggi sepanjang masa.

“Harga komoditi seperti sawit menyumbang lima peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) iaitu naik ke paras tertinggi, manakala permintaan eksport negara turut meningkat secara sihat dari sektor pembuatan semikonduktor dan sarung tangan dengan Malaysia menjadi pengeluar utama di dunia.

“Penyusutan import berbanding eksport menandakan kurang pelaburan dan import barang mentah bagi pembuatan bernilai tinggi, namun ini bukan di luar jangkaan kerana ekonomi global mengecut dan menyebabkan pelabur berhati-hati.

“Semua ini tidak pernah berlaku dan tidak mempunyai petunjuk atau prosedur operasi standard (SOP) sedia ada, melainkan kebijaksanaan pimpinan mendepani cabaran ekonomi, kesihatan dan politik yang saling berkait dan berlaku serentak,” katanya.

Beliau berkata, pakej rangsangan dilancarkan kerajaan menunjukkan komitmen kerajaan terhadap penggunaan dasar fiskal dengan memberi wang secara langsung kepada rakyat.

Langkah itu, katanya, menyuntik tunai ke dalam ekonomi domestik supaya pasaran tempatan cergas, di samping membantu survival rakyat dan perniagaan terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata pelabur asing kini dilihat menilai ekonomi negara berdasarkan keberkesanan langkah yang sudah dan sedang dijalankan.

Katanya, ia berikutan sentimen semasa di pasaran saham dipengaruhi oleh penyertaan pelabur runcit, manakala pelabur asing dilihat masih mencatatkan jualan bersih.

“Malaysia mempunyai potensi besar untuk menarik pelabur asing dengan hasil bumi yang kaya dan suasana aman, sekali gus kondusif sebagai iklim perniagaan.

“Sektor luaran dijangka memanfaatkan eksport negara dan industri berasaskan eksport seperti elektrik dan elektronik, sarung tangan getah, perabot serta komoditi seperti petroleum dan sawit,” katanya.

Mohd Afzanizam berkata, isu kestabilan politik turut dipantau rapat oleh pelabur, termasuk pengumuman Muhyiddin mengenai kemungkinan pilihan raya umum (PRU) diadakan jika situasi COVID-19 semakin reda.

Justeru, katanya, pelabur asing mungkin mengamalkan sikap tunggu dan lihat sebagai sentimen berhati-hati sebelum membuat keputusan selanjutnya.

sumber: berita harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here