MAQIS gagalkan cubaan seludup barang tanpa permit import sah

0
95

RANTAU PANJANG: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) merampas ayam sejuk beku, pelbagai jenis sosej, buah-buahan dan sayur-sayuran bernilai lebih RM47,000 di Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang, di sini, kelmarin.

Pengarah MAQIS Kelantan, Roslan Che At, berkata Operasi Pematuhan Import dan Eksport Keluaran Pertanian berjaya menggagalkan cubaan penyeludupan barang tanpa permit import yang sah dengan jumlah keseluruhan sebanyak 11,068 kilogram (kg) antara jam 5 petang hingga 7 malam itu.

Beliau berkata, pihaknya menahan tiga lori dan hasil pemeriksaan selama dua jam menemukan 7,212 kg keratan ayam sejuk beku bernilai RM36,060; 1,710 kg pelbagai jenis sosej dianggar bernilai RM7,695 dan 2,106 kg pelbagai jenis sayur-sayuran dan buah-buahan yang berjumlah RM3,274.

“Modus operandi mereka dengan menyembunyikan barang dagangan bersama sayur-sayuran dan buah-buahan yang diikrar secara sah yang cuba dibawa masuk dari Thailand ke Malaysia tanpa permit import sah daripada MAQIS.

“Perbuatan itu satu kesalahan mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) dan jika sabit kesalahan boleh didenda mengikut Seksyen 11(3) akta sama.

“Turut ditemui bawang merah yang tidak mematuhi syarat import iaitu suatu kesalahan mengikut Seksyen 15(1) Akta 728 yang boleh didenda mengikut Seksyen 15(2) akta sama,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, mereka yang disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya .

Katanya, MAQIS komited memastikan tumbuhan, binatang, karkas, ikan, keluaran pertanian, mikroorganisma dan makanan yang diimport dan dieksport bebas daripada ancaman perosak, penyakit, bahan cemar serta tidak menjejaskan sektor pertanian negara.

“Ia juga perlu mematuhi aspek kesihatan manusia, binatang, tumbuhan, ikan dan keselamatan makanan.

“Langkah bagi menjamin keselamatan keluaran pertanian yang diimport atau dieksport mematuhi syarat dan peraturan ditetapkan kerajaan,” katanya.

Sumber : Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here