MCA gesa PDRM pecat polis rogol wanita dalam lokap

0
290

KUALA LUMPUR: MCA hari ini mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenakan hukuman tegas termasuk memecat anggotanya yang didapati terbabit kejadian rogol remaja wanita di lokap Balai Polis Pusat Miri, Sarawak, 9 Januari lalu.

Ketua Wanita MCA, Datuk Heng Seai Kie, berkata tindakan itu bagi memastikan insiden sama tidak berulang serta menjadi pengajaran kepada anggota serta pegawai baharu pasukan itu.

“Wanita MCA memandang serius isu itu. Reputasi polis tercemar kerana insiden rogol terbabit. Jika isu ini tidak ditangani dengan baik dan cepat, ada kebimbangan integriti serta imej polis tercalar.

“Mengambil contoh peribahasa Melayu, ‘kerana nila setitik, rosak susu sebelanga’, salah laku beberapa anggota polis akan mencemarkan reputasi pasukan polis yang sudah berkorban menjaga keselamatan masyarakat dan negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman dilaporkan menjalankan siasatan tatatertib bagi menyiasat kecuaian dan salah saku berhubung kejadian rogol di lokap Balai Polis Pusat Miri, Sarawak, 9 Januari lalu.

Dua laporan polis diterima berhubung kejadian rogol ke atas seorang tahanan remaja wanita berusia 16 tahun yang dilaporkan berlaku pada jam 5.30 pagi.

Seai Kie berkata, kenyataan Bukit Aman mengenai beberapa pegawai dan anggota polis didapati cuai menjalankan tugas akan diambil tindakan termasuk diturunkan pangkat atau dibuang kerja tepat pada masanya dan memberi kelegaan kepada masyarakat.

“Wanita MCA ingin ambil peluang ini untuk merakamkan setinggi-tinggi ucapan penghargaan dan terima kasih kepada pasukan PDRM.

“Ia terutama sumbangan PDRM sejak tahun lalu yang berkhidmat sebagai petugas hadapan untuk mengawal penularan COVID-19,” katanya.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here