Menteri Luar UAE, Israel adakan pertemuan ‘bersejarah’ di Berlin

0
46

BERLIN: Menteri Luar Israel dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengunjungi Peringatan Holocaust di Jerman dalam satu pertemuan pertama bersejarah yang menjadi langkah penting dalam hubungan antara kedua-dua negara.

Gabi Ashkenazi dari Israel dan rakan sejawatnya, Sheikh Abdullah bin Zayed al-Nahyan, berlaga siku iaitu norma baharu dalam usah mengekang penyebaran COVID-19.

Ini pertemuan pertama secara langsung bagi kedua-dua negara yang sudah beberapa dekad bermusuhan, selepas menandatangani kesepakatan menjalin hubungan diplomatik, yang dizahirkan dengan bantuan Amerika Syarikat (AS).

Diiringi Menteri Luar Jerman, Heiko Maas, sebagai tuan rumah, kedua-dua pemimpin itu berjalan melalui monumen menempatkan lebih 2,700 blok konkrit kelabu yang terletak di kawasan yang berkeluasan tiga padang bola.

Monumen berkenaan adalah bagi memperingati tragedi ‘Holocaust’, di mana pembunuhan beramai-ramai menyaksikan lebih enam juta orang Yahudi maut di tangan rejim tentera Nazi pimpinan Adolf Hitler.

Ashkenazi dan Sheikh Abdullah kelihatan santai ketika mengunjungi monumen muzium bawah tanah dan menandatangani buku pelawat.

Kunjungan menteri UAE ke Peringatan Holocaust dianggap langkah yang sangat simbolik, menandakan perubahan sikap di dunia Arab terhadap Israel dan Yahudi.

Sebelum ini, konflik politik menyebabkan ketegangan sengit antara Islam dan Yahudi, malah tragedi Holocaust ditolak kebanyakan negara Arab.

Maas menyifatkannya tindakan Menteri Luar Israel dan UAE memilih Berlin sebagai lokasi pertemuan pertama bersejarah mereka adalah satu penghormatan besar.

“Mata wang paling penting dalam diplomasi adalah kepercayaan dan saya secara peribadi berterima kasih kepada dua rakan sejawat saya kerana mereka meletakkan kepercayaan kepada Jerman,” katanya.

Kedua-dua menteri luar itu akan mengadakan perbincangan malam ini sebelum makan malam bersama.

UAE dan Bahrain masing-masing menjadi negara Arab ketiga serta keempat menjalin hubungan dengan Israel selepas Mesir pada 1979 disusuli Jordan pada 1994. – AFP.

SUMBER: BERITA HARIAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here