Mohon bantu rakyat Malaysia koma di Sudan.

0
168

“DOAKAN Am ya.” Itu permintaan Arzuham Mohd Arih, 44, rakyat Malaysia yang koma di Royal Hospital, Sudan selepas disahkan dijangkiti Covid-19 sejak 23 Julai lalu.

Permintaan itu dibuat menerusi rakaman video ketika dirawat dan kini bapa kepada dua anak berkenaan sudah 12 hari tidak sedarkan diri serta bergantung kepada mesin bantuan pernafasan.

Keluarganya kini mengharapkan bantuan rakyat Malaysia untuk menghulurkan sumbangan kerana kos untuk membawanya pulang ke Malaysia menelan perbelanjaan RM760,000.

Abangnya Arsuhaily, 48, berkata adiknya itu koma selepas mendapat serangan jantung kali kedua sewaktu menerima rawatan di hospital berkenaan.

Katanya, kekurangan peralatan perubatan dan kos tinggi menyebabkan dia sekeluarga membuat keputusan untuk membawa pulang adiknya yang sudah 15 tahun bekerja di negara itu.

“Buat masa ini, kami hanya ada kira-kira RM300,000 hasil sumbangan pelbagai pihak.

“Hospital di sana (Sudan) memaklumkan ventilator berkenaan boleh digunakan selama 15 hari saja dan kini tinggal tiga hari sahaja lagi menyebabkan kami kesuntukan masa.

“Saya merayu rakyat Malaysia untuk menghulurkan sumbangan bagi membolehkan adik saya dibawa pulang dengan segera. Kos berkenaan mahal kerana perlu menyewa pesawat khas,” katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Arsuhaily berkata, setakat ini keluarganya masih menunggu laporan hospital mengenai kesihatan terkini Am sama ada semakin stabil atau sebaliknya.

Katanya, dengan bantuan badan bukan kerajaan Kelab Sosial dan Kebajikan Puncak Alam iCare, keluarganya mengambil insiatif untuk merayu sumbangan pelbagai pihak untuk menampung kos berkenaan.

“”Pihak hospital maklumkan selepas 15 hari ventilator digunakan, Am perlu dirawat menggunakan Extracorporeal Membrane Oxygenation (ECMO) dan alat ini tidak terdapat di Sudan.

“Sementara ini, kami mengharapkan agar keadaan Am terus stabil. Jika tidak dibawa pulang, peluang untuknya (hidup) agak tipis,” katanya.

Menurutnya, keluarganya juga meminta bantuan Wisma Putra berhubung tindakan yang boleh diambil untuk membawa Am pulang, bergantung kepada tahap kesihatannya.

Katanya, beliau juga meminta seluruh rakyat Malaysia mendoakan kesihatan Am dan jika dia pulih sepenuhnya, wang hasil sumbangan itu akan diserahkan kepada Tabung Covid-19.

“Kami juga sudah mendapatkan perintah mahkamah untuk mengetahui jumlah sebenar di dalam akaun Am, dan selebihnya kami harapkan daripada bantuan awam,” katanya.

Arzuham bekerja dngan syarikat berkaitan logistik di Sudan sejak 15 tahun lalu dan sering membantu penuntut Malaysia menerusi badan bukan kerajaan di negara terbabit.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghulurkan sumbangan menerusi akaun Maybank 562843100666 (Kelab Sosial dan Kebajikan Puncak Alam iCare).

SUMBER : HARIAN METRO

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here