MPKL serbu kedai perabot, cuci kenderaan milik warga asing

0
81

KUALA LANGAT: Kedai perabot dan kedai cuci kenderaan yang dikendalikan secara haram oleh seorang warga Bangladesh antara premis yang diarahkan tutup serta merta oleh Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL), semalam.

Yang Dipertua MPKL, Mohamad Zain A Hamid berkata, dalam Operasi Bersepadu MPKL bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sekitar kawasan Perindustrian Bukit Changgang itu, sebuah kedai runcit Acheh juga turut diarah tutup.

“Anggota penguat kuasa MPKL menyerbu dan menutup tiga buah kedai yang tidak memiliki lesen peniagaan yang sah dan dikendalikan oleh warga asing.

“MPKL turut menyita pelbagai barangan sebagai bahan bukti di kedai-kedai berkenaan yang terletak di sekitar Kampung Bukit Changgang dan Labohan Dagang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Operasi yang bermula 11 pagi dan berakhir kira-kira 9 malam tadi membabitkan 20 pegawai dan anggota.

Mohamad Zain menegaskan, MPKL tidak pernah memberi atau mengeluarkan lesen perniagaan kepada mana-mana warga asing dalam daerah Kuala Langat.

“Justeru, MPKL akan mempergiatkan lagi operasi seperti ini bagi memastikan semua aktiviti perniagaan mempunyai lesen yang sah untuk beroperasi di daerah Kuala Langat.

“Dalam pasca Covid-19 ini, MPKL juga akan terus menggempur peniaga warga asing yang menjalankan aktiviti perniagaan tanpa lesen,” katanya.

Sementara itu, dalam operasi sama juga MPKL mengeluarkan satu Notis Kesalahan di bawah UUK Tred Perniagaan dan Perindustrian (MDKL) 2007 ke atas sebuah kilang ubahsuai mesin tekstil.

“Pemeriksaan mendapati pemilik kilang itu melakukan kesalahan di bawah Akta 133, Akta Parit, Jalan dan Bangunan 1974 dan didapati beroperasi tanpa lesen MPKL.

“Kilang itu melakukan penambahan struktur bangunan tidak mengikut pelan asal dna beroperasi kira-kira setahun setengah yang lalu.

“Tindakan sita di pintu masuk premis berkenaan dan arahan lisan kepada pemilik agar tidak melanggar atau cuba memotong tali sitaan berkenaan. Kegagalan mematuhi arahan akan dikenakan tindakan mahkamah,” katanya.

Beliau berkata, tindakan MPKL itu perlu dijadikan pengajaran kepada semua pemilik kilang di daerah ini agar sentiasa mematuhi peraturan sedia ada.

“Pemilik premis atau kilang diingatkan agar tidak hanya memikirkan keuntungan semata. Pembukaan atau pengubahsuaian kilang perlu mendapat kebenaran bertulis dari MPKL,” katanya.

Sumber: Harian Metro

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here