MTUC gesa kerajaan perbaiki PdPR

0
65

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mendesak kerajaan memperbaiki segera pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bagi mengelak jurang pendidikan di negara ini menjadi semakin besar.

Susulan itu, Setiausaha Agung MTUC, Kamarul Baharin Mansor, berkata Kementerian Pendidikan perlu meneliti semula keupayaan sesebuah keluarga terutama daripada golongan B40 dan keluarga luar bandar yang berdepan masalah ketika pelaksanaan PdPR.

Katanya, mengikut rekod Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), kadar pemberhentian kerja sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sangat tinggi dan ini boleh dijadikan petunjuk mengenai keupayaan sesebuah keluarga dalam menghadapi PdPR.

Beliau berkata, golongan ibu bapa dalam kalangan B40 tidak mungkin dapat menyediakan peranti untuk PdPR kerana keutamaan mereka adalah menyediakan makanan kepada keluarga.

“Pendidikan adalah cara mengubah masa depan golongan B40 dan setiap murid mempunyai hak mendapatkan akses pendidikan bagi mencapai potensi masa depan.

“Justeru, MTUC berharap penilaian dan pelaksanaan sistem pendidikan di negara ini mengambil kira semua golongan rakyat.

“Jika pelaksanaan PdPR kali pertama ini menyebabkan masalah kepada golongan rentan, MTUC mendesak kerajaan memperbaikinya dan mencari penyelesaian tuntas sebelum PdPR kali kedua dilaksanakan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Kamarul Baharin berkata demikian ketika mengulas saranan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) yang mahu PdPR kali kedua ditangguhkan kerana menambah bebanan murid, guru dan ibu bapa berdasarkan kajian yang dijalankannya.

Mengikut kajian itu, ibu bapa bukan saja terbeban kerana sukar membantu anak belajar, malah timbul isu tekanan ekonomi dihadapi golongan keluarga B40, menyebabkan ada antara murid tidak mempunyai peranti.

Kamarul Baharin menyifatkan permintaan NUTP supaya PdPR ditangguhkan adalah wajar dan tepat terutama apabila kajian itu dilakukan berdasarkan realiti pengajaran dan pembelajaran (P&P) ketika tempoh penularan COVID-19.

Katanya, pendakwah terkenal, Ustaz Ebit Lew turut menerima 40,000 permohonan dari seluruh negara untuk mendapatkan bantuan peranti tablet.

“Ini sebahagian petunjuk kepada Kementerian Pendidikan bahawa masih ramai ibu bapa golongan B40 yang tidak berupaya menyediakan peranti bagi pembelajaran PdPR anak mereka.

“Kemudahan jalur lebar juga antara masalah perlu dipertimbangkan. Tidak mungkin isu ini dapat diselesaikan individu seperti Ustaz Ebit Lew kerana ia membabitkan kos tinggi,” katanya.

Kamarul Baharin berkata, sehingga kini Kementerian Pendidikan tidak memberikan data atau analisa kepada masalah PdPR.

“Penambahan masa PdPR akan menguntungkan sebahagian murid tetapi bagi yang menghadapi masalah, ia akan menyebabkan jurang pendidikan semakin besar.

“Ini tidak seharusnya terjadi dalam usaha kerajaan menuju ‘Kemakmuran Bersama’,” katanya.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here