Nelayan Pangkor bakal dapat kediaman selesa

0
122

PANGKOR: Projek perumahan penempatan semula nelayan (PSN) di Teluk Baru, di sini, dengan kos RM16 juta, memberikan nafas baharu kepada 139 komuniti maritim di pulau peranginan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan, Razman Zakaria, berkata pangsapuri yang dibina pada 2014 dan siap pada 2018 itu akan diduduki sepenuhnya selepas pemilihan peserta dimuktamadkan bulan hadapan.

Katanya, setakat ini 37 unit rumah sudah diduduki manakala pengisian 102 unit lagi akan diselaraskan mengikut syarat ditetapkan.

“Secara dasarnya, rumah ini dibina untuk nelayan dan kita sudah mempunyai senarai nama untuk pemilihan bagi menentukan mereka yang benar-benar layak dalam masa terdekat sebelum tawaran diberikan selewat-lewatnya April ini.

“Kita menerima 86 permohonan dan syarat untuk memohon PSN di sini ialah nelayan Pangkor, pemegang kad nelayan Jabatan Perikanan dan ahli Persatuan Nelayan Pangkor kategori 11(1)a iaitu nelayan tulen yang diiktiraf oleh persatuan nelayan,” katanya ketika ditemui selepas melawat PSN itu di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Perak, Mohamad Rizal Sahari dan Pegawai Daerah Manjung, Zulhisham Ahmad Shukori.

Razman berkata, nelayan setempat perlu merebut tawaran itu yang memberi peluang mereka memiliki rumah sendiri.

“Rumah ini bernilai RM45,000 seunit berkeluasan 860 kaki persegi dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air, selain mempunyai balkoni dengan bayaran bulanan RM150 selama 25 tahun,” katanya.

sumber:berita harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here