NHC entiti tunggal pembangunan rumah mampu milik

0
105

KUALA LUMPUR: Kerajaan menubuhkan Perbadanan Perumahan Nasional (NHC) bagi menyelaraskan semua agensi pembangunan perumahan di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di bawah satu entiti tunggal.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin, berkata buat permulaan empat agensi perumahan di bawah KPKT iaitu Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Projek Perumahan Awam Malaysia (PPAM) dan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) akan diselaraskan di bawah NCH.

Beliau berkata, selaras dengan penubuhan itu, Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim, turut dilantik sebagai Pengerusi NHC dan Pengerusi PR1MA berkuat kuasa serta merta.

Menerusi NHC, katanya, penyelidikan dan perancangan strategik perumahan khususnya daripada segi pemusatan pangkalan data perumahan bagi mengatasi masalah ketidaksepadanan antara bekalan dan penawaran perumahan khususnya yang mampu milik.

“NHC juga akan berperanan menyelaras dan merancang pembinaan dan menyediakan pelan kewangan bagi rumah mampu milik (RMM) di seluruh negara.

“Pangkalan data melalui NHC ini penting untuk mengelakkan unit tidak terjual sebab ketiadaan data sistem yang boleh membuat unjuran dalam pemasaran,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Pada masa sama, Zuraida berkata, buat masa ini, garis panduan NHC sedang diperhalusi kerajaan dan akan dilaksanakan sama ada melalui pindaan kepada Akta PR1MA 2012 atau penubuhan satu entiti baharu NHC dengan akta khusus bagi mentadbir agensi itu.

Beliau berkata, kerajaan juga berhasrat mewujudkan sebuah entiti perumahan yang akan menyelaras dan membangunkan perumahan awam serta sosial mengikut keperluan rakyat melalui NHC.

Selain itu, katanya, agensi itu juga akan menyediakan perumahan yang berkualiti dengan kos efektif serta suasana komuniti dan mempunyai model kewangan serta struktur organisasi yang mampan.

“NHC juga akan memberi fokus terhadap beberapa aspek lain antaranya akta, perundangan, kawalan, pelesenan dan penguatkuasaan perundangan perumahan bagi menjaga kepentingan semua pihak terbabit dalam industri perumahan seperti pembeli, pemaju, kontraktor serta pembiaya kewangan.

“Pengurusan insentif perumahan, skim sewaan, pembiayaan perumahan, penyelenggaraan dan pengurusan unit tidak terjual,” katanya.

Beliau berkata, pada masa depan, semua projek perumahan rakyat di bawah KPKT termasuk PPR akan turut diuruskan oleh NHC bagi menyelaraskan perumahan yang lebih komprehensif dan teratur.

Mengenai pelantikan Shahidan, Zuraida berkata, pihaknya yakin bekas Menteri Besar Perlis itu mempunyai pengalaman yang luas dalam tadbir urus bagi membantu menjayakan NHC.

“Apatah lagi Shahidan pernah terbabit dalam penubuhan PR1MA ketika berkhidmat sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Ini kerana perancangan serta penubuhan NHC adalah inisiatif yang penting untuk agenda perumahan negara dan ini memerlukan kepimpinan yang berpengalaman dan berwibawa, ” katanya.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here