Pandemik boleh buka peluang ekonomi untuk APEC

0
22

KESAN ekonomi akibat pandemik COVID-19 telah  mendorong ahli-ahli Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) untuk memanfaatkan naratif semasa dalam menjalankan perniagaan serta pelaburan ke atas trajektori yang diperbaharui.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pelaburan) Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Bahria Mohd Tamil, berkata penularan wabak juga membuka ruang semua pihak untuk berfikir lebih mendalam mengenai peranan yang boleh dimainkan komuniti perniagaan dan pelaburan dalam masyarakat.

Katanya, ia juga mengambil kira persekitaran dan rancangan masa depan oleh pembuat dasar yang mesti melihat keperluan untuk mencipta satu model perniagaan yang bertanggungjawab dan inklusif.

“Beberapa dekad terakhir menunjukkan, lebih banyak perniagaan dan institusi pelaburan mengambil langkah progresif dalam melaksana model perniagaan baru dengan menerapkan prinsip-prinsip perniagaan dan pelaburan yang inklusif dan bertanggungjawab.”

“Begitu juga, adanya minat yang semakin meningkat di antara banyak perniagaan dan institusi pelaburan yang menerapkan Agenda Pembangunan Mampan (SDG) dalam DNA perniagaan mereka,” katanya dalam ucapan pembukaan sempena Dialog Awam-Swasta APEC mengenai Perniagaan serta Pelaburan Inklusif dan Bertanggungjawab di sini, kelmarin.

Beliau berkata, Malaysia berpendapat sudah ada peluang untuk APEC mengemukakan strategi Perniagaan serta Pelaburan Inklusif dan Bertanggungjawab (IRBI) yang lebih mantap di tengah-tengah rancangan selepas 2020 dan pasca pandemik COVID-19.

Dalam pada itu Bahria akui, pandemik COVID-19 sudah menimbulkan gangguan terhadap kerancakan ekonomi dan kehidupan perniagaan serta rantaian bekalan di semua peringkat.

“Gangguan ini menimbulkan pelbagai kesan terhadap perniagaan, tidak kira saiz dan lokasi operasi mereka, dimana masing-masing berdepan kekangan dari segi kewangan sambil perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang sentiasa berubah bergantung kepada situasi COVID-19.”

“Ini akhirnya tidak hanya menuntut semua komuniti perniagaan untuk menyesuaikan diri dalam norma baru operasi harian mereka, tetapi juga untuk merancang semula model perniagaan dengan memastikan perniagaan dan perkhidmatan mereka terus relevan kepada kehendak pengguna dan orang ramai,” katanya.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here