Paras Garis Kemiskinan baharu bakal diumum

0
51

PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, tidak menolak kadar kemiskinan negara mungkin meningkat apabila Paras Garis Kemiskinan (PGK) baharu berdasarkan metodologi 2019 diumumkan dalam masa terdekat.

Beliau berkata ini kerana PGK RM980 bagi isi rumah yang ditetapkan mengikut metodologi 2005 sudah tidak relevan.

“Tahun 2005 pendapatan per kapita misalnya cuma RM20,000. Sekarang ini sudah RM45,000. Maknanya pendapatan per kapita kita bertambah dua kali ganda, jadi adalah mustahil PGK berada kekal pada RM980.

“Di bawah metodologi 2019, sudah pasti pertamanya jumlahnya lebih tinggi daripada RM980, kedua ia (kadar kemiskinan) sudah pasti lebih daripada 0.4 peratus,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Banci Penduduk dan Perumahan 2020 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, di sini hari ini.

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini mendakwa kadar kemiskinan Malaysia 0.4 peratus pada 2016 adalah tidak realistik kerana meletakkan penanda aras yang rendah iaitu RM980.

Mengulas lanjut, Mustapa berkata Jabatan Perangkaan telah menjalankan Survei Pendapatan, Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas bermula Januari hingga November 2019 bagi mendapatkan angka sebenar mengenai kemiskinan dalam negara.

“Beberapa jawatankuasa telah ditubuhkan bagi meneliti angka-angka ini dan hasilnya sudah pun dibentangkan sebanyak dua kali kepada Kabinet,” katanya.

Mustapa juga berkata keputusan untuk melihat semula angka PGK sebenarnya telah dibuat ketika kajian separuh penggal Rancangan Malaysia ke-11 yang dibentangkan kerajaan terdahulu pada Oktober 2018.

Sementara itu, Mustapa mengesahkan kerajaan ada membincangkan mengenai kajian semula jajaran untuk projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL), namun tiada keputusan dibuat setakat ini.

“Saya boleh sahkan ada perbincangan tapi keputusan belum lagi. Apa-apa keperluan boleh tanya kepada Kementerian Pengangkutan,” katanya, menambah proses perbincangan itu diketuai Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Media sebelum ini melaporkan kerajaan menimbang kemungkinan mengembalikan jajaran ECRL kepada pelan asal yang dilancarkan kerajaan Barisan Nasional sebelum ini, khususnya di bahagian C yang melibatkan jajaran di Lembah Klang yang menghubungkan Pelabuhan Klang.

Sumber: BERNAMA

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here