PAS tolak kerjasama dengan parti ekstrem, liberal

0
214

MARANG: PAS menolak menjalin kerjasama dengan parti yang ekstrem dan liberal, sebaliknya memilih bersama parti yang mempunyai prinsip dan hala tuju yang sama dalam menyatukan ummah.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata PAS bersedia bekerjasama dengan semua parti yang ada dalam negara ini, namun ia perlu selari dengan konsep dan perjuangan parti itu.

“Kita bekerjasama dengan semua tetapi ikut konsep kita untuk satukan umat, bukan memecahkan umat, yang penting (parti) mesti tidak ekstrem, tidak liberal.

“Kita tolak kalangan liberal dan ekstrem, yang ekstrem itu kamu nilai sendiri, siapa yang ekstrem, siapa yang liberal,” katanya selepas menyampaikan kuliah Jumaat secara dalam talian di Masjid Rusila di sini, hari ini.

Mengulas hala tuju hubungan bersama UMNO dalam Muafakat Nasional (MN) susulan keputusan UMNO yang tidak bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan menolak pembentukan gabungan politik bersama Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), Ahli Parlimen Marang itu berkata, PAS tetap dengan pendirian bersama MN dan PN.

“Kita sudah bersetuju, sudah tandatangani, saya tandatangan surat itu, Zahid Hamidi (Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) tandatangan, jemput Tan Sri Muhyiddin Yaasin dalam MN, (jadi) itu yang perlu dilaksanakan, saya boleh tunjuk surat, kerjasama yang penting, nama itu tidak penting dan PN sendiri sudah didaftarkan,” katanya.

Ketika diminta mengulas kenyataan Ahmad Zahid yang meminta PAS memikirkan sebaik-baiknya mengenai kerjasama asal di dalam MN, Abdul Hadi berkata, PAS sudah melakukan yang terbaik bersama MN untuk menyelamatkan negara dan rakyat.

“Kita sudah buat sebaik-baiknya, tidak perlu (fikir), kita sudah banyak pengalaman, sudah bekerjasama dengan semua, bacalah sejarah dari tahun 50-an, 60-an, siapa bekerjasama dengan kita, yang tidak bekerjasama dengan kita sama ada sudah mati atau berkecai atau terkulai, tak perlu saya sebut nama.

“PN adalah gabungan terbaik dan selari dengan konsep PAS itu sendiri dan kita (PAS) pilih yang bersama kerana apa yang penting, kita fokus kepada masalah COVID-19 dan ekonomi rakyat,” katanya.

Ketika ditanya bagaimana pendirian PAS sekiranya gagal mencari titik persefahaman bersama UMNO, Abdul Hadi enggan mengulas lanjut, sebaliknya hanya akan menjawabnya jika perkara itu benar-benar berlaku.

Sumber : Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here