PATI disuntik vaksin usah risau dihantar pulang, ditahan

0
173

KUALA LUMPUR: Pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ingin mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 tidak akan berdepan tindakan penghantaran pulang atau ditahan pihak berkuasa.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, ketika memberikan jaminan sedemikian, berkata usaha imunisasi termasuk dalam kalangan warga asing yang tidak mempunyai dokumen akan dilakukan menerusi kerjasama agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Katanya, pendekatan seperti itu penting bagi memastikan golongan berkenaan tidak dibelenggu perasaan takut untuk tampil di klinik kesihatan atau pusat pemberian vaksin (PPV) bagi mendapatkan pelalian.

“Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) berjumpa Penyelaras Residen PBB Malaysia, Singapura dan Brunei, Stefan Preisner serta wakil agensi PBB semalam.

“Pertemuan ini bagi membincangkan pelan Malaysia untuk menyediakan suntikan vaksin kepada pendatang yang tidak mempunyai dokumen.

“Kerajaan akan bekerjasama dengan agensi PBB supaya pendatang tanpa dokumen ini tidak khuatir terhadap risiko dihantar pulang atau ditahan sekiranya hadir untuk mendapatkan suntikan vaksin,” katanya menerusi Twitter, Khairykj, hari ini.

Khairy yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), sebelum ini memberi jaminan sama terhadap PATI, malah perbincangan berhubung usaha itu giat dijalankan dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Sumber Manusia (KSM).

Malaysia setakat ini menyasarkan untuk memberi suntikan vaksin kepada 80 peratus daripada keseluruhan penduduk di negara ini atau membabitkan jumlah 26.5 juta orang, termasuk warga asing bagi mencapai imuniti kelompok.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here