Pegawai Imigresen dipenjara 30 hari, denda RM40,000

0
32

SEREMBAN: Seorang pegawai Imigresen dipenjara 30 hari dan denda RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2,100, pada 2019 dan tahun lalu.

Hakim Madihah Harullah membuat keputusan itu selepas tertuduh, Mohd Shah Ezywan Abd Rahman, 34, mengaku bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan itu.

Bagi setiap pertuduhan, Mohd Shah Ezywan didenda RM20,000 dan boleh dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda selain mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara 30 hari bagi kedua-dua pertuduhan yang dijalankan serentak.

Mengikut pertuduhan, Mohd Shah Ezywan yang juga Pegawai Imigresen Gred KP19 memperoleh suatu benda berharga tanpa suatu balasan iaitu wang masing-masing berjumlah RM1,200 dan RM900 daripada seorang individu yang mempunyai hubungan dengan kerja rasminya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Malayan Banking Berhad cawangan Nilai pada 7 Julai 2019 dan antara 22 Mac hingga 19 Mei 2020.

Terdahulu, dalam prosiding pada 26 Januari lalu, Mohd Shah Ezywan yang ditahan dalam Op Selat mengaku tidak bersalah atas lapan pertuduhan menerima rasuah mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan (165KK) dan empat pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM885,950.

Bagaimanapun, mahkamah hari ini memerintahkan enam pertuduhan lain di bawah Seksyen 165KK dan empat pertuduhan di bawah Seksyen 4 (1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, digugurkan.

Selain itu, mahkamah turut membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melucut hak pelbagai aset berjumlah RM1,209,380.65 termasuk wang tunai, empat buah kereta dan barang kemas.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Wan Shaharuddin Wan Ladin manakala Mohd Shah Ezywan diwakili peguam Datuk Salehuddin Saidin. – BERNAMA

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here