Pekebun guna alternatif lain pasarkan nanas moris ketika PKP

0
213

BATU PAHAT: Pekebun nanas moris di sini, mengambil inisiatif lebih agresif untuk memasarkan hasil tanaman bagi mengelak lambakan buah tidak terjual, sekali gus merugikan mereka.

Bagi Mohd Farid Mohd Yusoff, 31, dia berusaha menjual hasil nanas diusahakan dengan mempergiatkan lagi pasaran di sekitar kawasan setempat.

Susulan itu, beliau berkata, pihaknya mengeluarkan produk kecil-kecilan berasaskan nanas seperti buah potong segar dan halwa nanas mengikut selera masyarakat tempatan di sini.

“Pada masa sama, saya juga memasarkan hasil nanas menggunakan medium media sosial dan bersyukur mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan.

“Saya juga berterima kasih kepada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang turut memberi bantuan dan mempromosikan hasil tanaman nanas pekebun,” katanya.

Sebelum ini, isu pekebun nanas moris yang berdepan masalah menjual hasil pertanian mereka hingga mengalami kerugian dan pada masa sama, kerajaan dikatakan tidak mengambil sebarang tindakan untuk menangani masalah berkenaan, tular di media sosial.

Pekebun, Mohd Apandi Muharal, 49, pula berkata pasaran nanas ketika ini masih stabil mengikut jenis nanas dan masih dapat memenuhi pasaran tempatan dan luar.

Beliau berkata, tidak dinafikan nanas moris agak kurang mendapat sambutan daripada segi pemasaran dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini.

“Sebelum ini, saya menjual nanas moris kepada orang ramai yang mengadakan majlis kenduri kendara, sektor perhotelan dan restoran, namun disebabkan kekangan pelaksanaan PKP, sebahagian bekalan nanas yang ada tidak dapat dipasarkan secara menyeluruh.

“Susulan itu, usaha lebih giat perlu dilakukan pekebun supaya buah nanas moris yang ada dapat dipasarkan bagi mengelak kami mengalami kerugian lebih besar,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, masalah pasaran nanas moris dilaporkan hanya berlaku di daerah Batu Pahat, Kluang dan Pontian, membabitkan sebilangan pekebun nanas moris.

“Ia berlaku kerana pembatalan pembelian oleh pihak pemborong terhadap pekebun mengikut jadual pengeluaran yang ditetapkan dan mengakibatkan nanas tidak dapat dijual seperti biasa.

“Pihak LPNM bersama FAMA sudah mengambil langkah proaktif dengan melakukan pemantauan awal terhadap pekebun di lapangan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Sahruddin berkata, LPNM juga menawarkan inisiatif bantuan pasaran kepada pekebun terjejas dengan pembelian oleh pihak FAMA dan pemadanan bersama pihak kilang pengetinan.

“Pihak LPNM dan FAMA akan mengadakan rundingan dengan pihak kilang pengetinan dan melaksanakan pemadanan pasaran dengan pihak pemborong serta peruncit yang memerlukan.

“Perkara ini masih dalam kawalan kerana pengeluaran nanas adalah secara berjadual dan berperingkat serta yakin dengan pembukaan sektor ekonomi dan pergerakan lokaliti yang lebih luas secara berperingkat, ia dijangka dapat memberi kesan pasaran yang positif bagi pasaran buah nanas,” katanya.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here