Pekebun rugi RM150,000 pajak kebun durian tak wujud

0
274

MELAKA: Seorang pekebun kerugian RM150,000 selepas terpedaya memajak kebun durian yang tidak wujud di Tiang Dua, Mukim Ayer Molek di sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintendan E Sundra Rajan, berkata pada Oktober tahun lalu, mangsa yang berusia 55 tahun dan tinggal di Jementah, Segamat, berminat memajak kebun durian seluas 2.3 hektar di Mukim Tiang Dua yang ditawarkan suspek menerusi media sosial.

Katanya, mangsa yang datang ke Melaka berjumpa suspek dan dibawa ke kebun berkenaan.

“Selepas berbincang, mangsa bersetuju memajak tanah itu selama lima tahun dengan nilai pajakan RM150,000. Mangsa bersama suspek turut pergi ke pejabat Pesuruhjaya Sumpah di Jalan Panjang untuk menandatangani surat perjanjian dengan membuat bayaran tunai RM150,000.

“Namun, pada Selasa lalu, abang mangsa yang tinggal di Melaka memaklumkan tanah kebun berkenaan bukan kepunyaan suspek, sebaliknya milik orang lain. Menyedari ditipu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Bandar Hilir, semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu,” katanya.

Susulan itu, Sundra berkata, bagi mengelak perkara seumpama itu berlaku, polis menasihati orang ramai sentiasa berhati -hati dengan tawaran pajakan tanah diiklankan di media sosial.

Katanya, orang ramai juga perlu membuat semakan nombor telefon yang meragukan di laman web http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ atau dengan memuat turun aplikasi “Check Scammer CCID” di Google Play Store untuk mengelak diri menjadi mangsa penipuan.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here