Pelancong mula kunjung, tengok gajah di Kuala Gandah

0
80

TEMERLOH: Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah Lanchang, di sini, kini mula dibuka kepada pengunjung selepas ditutup sementara sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua PKGK Kuala Gandah Lanchang, Muhammad Khairul Adha Mat Amin, berkata tujuh pelancong tempatan menjadi kumpulan pertama datang ke sini selepas mula dibuka semalam.

“Kita mengalu-alukan kedatangan pelancong ke PKGK Kuala Gandah dalam usaha merancakkan lagi sektor pelancongan di negeri ini terutama selepas terjejas teruk disebabkan wabak COVID-19 melanda negara ini.

“Prosedur operasi standard (SOP) diberi keutamaan sebelum dan ketika pelancong berada dalam kawasan PKGK Kuala Gandah. Kita perlu mengikut semua peraturan ditetapkan kerajaan bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku,” katanya, di hubungi,di sini semalam.

Beliau berkata, tarikan utama PKGK Kuala Gandah ialah pengunjung diberi peluang memberi gajah makanan seperti buah, kacang dan tebu, selain melihat haiwan berkenaan mandi di sungai yang terdapat kawasan pusat berkenaan.

Muhammad Khairul Adha berkata, setiap petang turut diadakan persembahan beberapa gajah dewasa bersama gembala atau mahut berpengalaman. Pengunjung juga boleh menyaksikan pameran haiwan liar berkenaan.

“Saya berharap pelancong tempatan tidak melepaskan peluang untuk datang bersama keluarga ke PKGK Kuala Gandah untuk melihat gelagat gajah yang ada di sini.

“Sebelum ini setiap tahun lebih 100,000 pelancong tempatan dan antarabangsa berkunjung PKGK Kuala Gandah, ia menjadi antara produk pelancongan terkenal di negara ini,” katanya.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here