Pembaharuan semula kawasan ‘lama’ KL

0
95

PUTRAJAYA: Kementerian Wilayah Persekutuan akan melaksanakan pembaharuan semula bandar raya Kuala Lumpur bagi menjadikannya ibu kota maju, menarik dan kondusif.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa, berkata tumpuan akan diberi di kawasan yang masih terdapat bangunan dan kediaman usang berusia melebihi 40 tahun.

Beliau berkata, setakat ini lokasi sudah dikenal pasti membabitkan perumahan awam dan swasta yang akan diubah kepada suasana lebih berkualiti.

“Program ini akan dilaksanakan secara komprehensif dan holistik ke arah menjadikan Kuala Lumpur sebagai sebuah kota yang indah dan selesa, bersesuaian dengan kedudukannya sebagai ibu negara,” katanya ketika bersiaran secara langsung di Facebook Kementerian Wilayah Persekutuan sebelum melancarkan buku Panduan Pelaksanaan Pembaharuan Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan, antara projek yang akan dilaksanakan adalah membabitkan pembangunan semula flat usang Projek Perumahan Rakyat (PPR) di beberapa lokasi sekitar Kuala Lumpur.

Kawasan bangunan usang, tempat tinggal seperti PPR akan dirobohkan dan pemilik-pemilik unit-unit itu akan diberikan unit percuma, lebih selesa, dengan harga RM200,000 seunit.

Annuar berkata, kementerian itu yakin rancangan itu akan berjaya dilaksanakan bagi menjadikan Kuala Lumpur satu lokasi yang kondusif dan berdaya huni.

Bagi melaksanakan projek itu dan memastikan ia berjalan lancar, katanya, semua pihak perlu kreatif serta tidak seharusnya menunggu peruntukan kerajaan yang agak terbatas.

Justeru, katanya, pelaksanaannya boleh juga dilakukan melalui pihak swasta.

“Antaranya ialah kita sudah mengenal pasti beberapa kawasan terbiar dan lombong yang akan dibangunkan sebagai projek kepentingan awam.

“Kementerian juga akan membangunkan tujuh projek tasik untuk dijadikan sebagai kawasan hijau memandangkan ia semakin berkurangan di Kuala Lumpur,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Annuar berkata, sebuah taman bandar raya akan dibangunkan di ibu kota Kuala Lumpur dengan bercirikan pembangunan moden serta beridentiti.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan lokasi projek itu buat masa ini.

Sumber : Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here