Pembakaran terbuka punca jerebu tempatan – MetMalaysia

0
123

KUALA LUMPUR: Jerebu yang berlaku di beberapa kawasan di negara ini adalah ‘jerebu tempatan’ yang antaranya berpunca daripada pembakaran terbuka terutama dalam cuaca panas ketika ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Strategik & Teknikal) Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip, berkata hujan yang kurang dan aktiviti pembakaran terbuka menyumbang kepada indeks pencemaran udara yang tidak sihat, seterusnya menyebabkan jerebu.

“Memang ada kena-mengena (cuaca panas), kita tidak banyak menanam (tumbuhan), sebaliknya banyak aktiviti pembakaran terbuka untuk membersihkan kebun dan sebagainya.

“Jadi ia menyebabkan jerebu tempatan dan bukannya berpunca daripada pencemaran dari negara jiran,” katanya.

Mohd Hisham berkata, menurut laporan Jabatan Alam Sekitar (JAS) terdapat juga kebakaran di kawasan hutan simpan pada ketika ini.

Justeru, katanya, MetMalaysia sentiasa menasihatkan orang ramai tidak melakukan pembakaran terbuka dan mengurangkan aktiviti di luar serta minum air secukupnya.

Sebelum ini, MetMalaysia memaklumkan negara kini berada pada fasa akhir Monsun Timur Laut yang dijangka berterusan sehingga pertengahan bulan ini.

Dalam tempoh ini, taburan hujan agak rendah di Semenanjung Malaysia terutama di utara Semenanjung.

Bagaimanapun, MetMalaysia tidak menjangka keadaan cuaca panas luar biasa akan berlaku pada tahun ini.

Berdasarkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pagi tadi, tiga kawasan di Selangor mencatatkan bacaan IPU tidak sihat dengan stesen Johan Setia Klang paling tinggi iaitu 183, diikuti Banting (165) dan Petaling Jaya (141). – BERNAMA

sumber: berita harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here