Pemimpin taat agama cenderung tadbir negara dengan baik – Dr Mahathir

0
297

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad percaya pemimpin yang beragama dan taat pada perintah agamanya, memiliki kecenderungan untuk mentadbir negara dengan baik dan berkesan.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, keperibadian seseorang pemerintah akan menjadi penentu sama ada sistem pentadbiran sesuatu negara itu akan berfungsi dengan baik atau sebaliknya.

Sehubungan itu, katanya, rakyat perlu memilih pemimpin dengan berhati-hati dan membuat pertimbangan berdasarkan kebaikan dan keburukan jika mahu sistem pemerintahan sesuatu negara berjaya.

“Jika pemerintah fokus untuk membangunkan dan melakukan yang terbaik untuk memanfaatkan negara sepanjang pentadbirannya, maka demokrasi akan berfungsi.

“Namun, jika seseorang itu kekal memerintah terlalu lama, sentiasa ada kecenderungan untuk beliau menyalahgunakan kuasa dan sistem pentadbiran.

“Untuk pastikan individu dilantik dalam sistem demokrasi akan menjalankan tugasnya dengan penuh tanggungjawab, ia bergantung pada sistem nilai, yang menentukan kualiti dan sikapnya

“Bagi seorang pemimpin, perlunya dedikasi pada nilai tertinggi. Ertinya, jika pemimpin itu beragama dan taat pada nilai agama, kebiasaannya beliau akan menjadi pemimpin yang baik,” katanya dalam ucapan dasar Dialog Perdana 2021 bertemakan ‘Sistem Kerajaan’ secara maya sempena Sidang Kemuncak Kuala Lumpur, hari ini.

Dr Mahathir berkata, tahap pendidikan di sesebuah negara juga menentukan sama ada pemimpin yang baik atau sebaliknya, dipilih oleh rakyat.

“Apabila pendidikan sesebuah negara rendah, rakyatnya tidak dapat membezakan antara yang baik dan buruk. Contohnya, majoriti rakyat mungkin memilih pemimpin kerana rasuah.

“Pemimpin mungkin melakukan rasuah dengan membayar rakyat untuk mengundi mereka. Maka, hasilnya adalah sebuah kerajaan dengan rakyat yang dipenuhi rasuah,” katanya.

Sumber : Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here