Pengambilalihan FGV perlu ambil kira kepentingan peneroka

0
86

KUALA LUMPUR: FELDA dinasihat supaya mengambil kira kepentingan dan perlindungan peneroka dan warganya sepanjang proses pengambilalihan FGV Holdings Bhd (FGV).

Ini bagi menjamin peneroka selaku pemegang saham FGV terarah kepada pelan pemulihan lebih mampan dan menguntungkan ekonomi negara, selain warga FELDA menerima manfaat sewajarnya.

Pengerusi Kaukus Jawatankuasa Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara, Senator Datuk Razali Idris, berkata keuntungan bersama perlu dititikberatkan dengan terma munasabah dan tidak membabitkan kepentingan peribadi mana-mana pihak.

Beliau juga berharap pengambilalihan FGV dilaksanakan secara lancar, harmoni dan baik demi kepentingan 112,638 peneroka dan dua juta warga FELDA.

Razali juga berpandangan langkah susulan seperti penerangan, memberi jaminan prestasi, menambah dan mengembangkan nilai aktiviti hiliran secara lebih mampan dalam industri minyak sawit perlu dilakukan selepas pengambilalihan FGV selesai.

“Ia termasuk soal harga tawaran RM1.30 sesaham perlu wajar mengikut harga sama dirundingkan secara bebas dan profesional dengan Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) dan Urusharta Jamaah Sdn Bhd, bersesuaian harga pasaran semasa.

“Justeru, keutamaan pengurusan tadbir urus serta kecekapan kewangan proses pengambilalihan syarikat daripada FELDA dituntut tanpa mengabaikan kepentingan pihak terbabit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, FELDA dilaporkan memperoleh 22 juta saham FGV di pasaran terbuka dengan harga RM28.38 juta, iaitu RM1.29 sesaham pada 13 Januari lalu.

Pada 12 Januari lalu, FELDA mengeluarkan dokumen berkaitan tawaran pengambilalihan mandatori tanpa syarat bagi baki saham di FGV tidak dimilikinya, kecuali saham perbendaharaan.

Tawaran RM1.30 sesaham dibuka untuk penerimaan hingga jam 5 petang pada 2 Februari lalu, melainkan dilanjutkan atau disemak semula dengan pengumuman akan dibuat Maybank IB, dua hari sebelum tarikh tutup.

Pada 8 Disember lalu, FELDA yang sudah memiliki 21.24 peratus saham dalam FGV, meningkatkan pegangannya dalam syarikat itu kepada 35.12 peratus.

Sebanyak 13.88 peratus saham sudah diperoleh, iaitu 6.1 peratus daripada KWAP dan Urusharta Jamaah Sdn Bhd (7.78 peratus).

Sumber : Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here