Pengantin tidak sangka majlis kahwin ‘drive thru’ jadi viral

0
54

KLUANG: “Niat kami hanya untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan, selain menjayakan majlis yang sudah beberapa kali tertangguh,” kata Norazura Mohd Ali,36.

Norazura berkata demikian ketika mengulas tentang majlis perkahwinan bersama jejaka pilihannya, Agus Santoso Sidik, 28, yang tular sejak awal minggu ini apabila diadakan secara pandu lalu untuk tetamu yang datang meraikan.

Beliau berkata, pada mulanya adik beradiknya mencadangkan supaya majlis diadakan secara mengagihkan makanan dalam bungkusan kepada jiran serta rakan taulan serta saudara terdekat.

“Namun saya dan suami tidak setuju kerana memikirkan banyak kerja perlu dilakukan untuk mengagihkan makanan, selain mengenangkan ramai rakan-rakan dan saudara mara mahu datang sendiri melihat kami berdua di majlis berkenaan.

“Bagaimana pun, selepas melihat video ditularkan sebuah perunding perkahwinan di Kluang, mengenai majlis perkahwinan secara pandu lalu, kami bercadang mengguna konsep itu kerana dirasakan sesuai, selain tidak melanggar sebarang SOP penganjuran majlis keramaian,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Rumah Murah Jalan Sawi dekat sini hari ini.

Norazura berkata, pada mulanya semua ahli keluarga termasuk ibu, Khatijah Awang, 66, membantah niat mereka berdua, namun selepas perbincangan selain mendapat kelulusan polis, akhirnya perancangan itu dapat dilakukan.

“Berikutan itu, pelbagai perancangan awal dilakukan untuk menyusun atur perjalanan majlis dengan menampal catatan bahawa majlis kami menggunakan konsep pandu lalu pada kad jemputan.

“Selain itu, kami turut meletakkan pusat hentian untuk pemeriksaan suhu badan serta pendaftaran kehadiran, tempat agihan makanan dan yang terakhir berswafoto dengan pengantin, hanya dari dalam kereta,” katanya.

Norazura berkata, mereka bernikah di Pejabat Agama daerah Kluang pada 23 Jun sebelum melangsungkan majlis resepsi itu pada 27 Jun selepas lebih setahun menjalankan hubungan, tidak menyangka ia menjadi viral selepas dimuat naik dalam laman sosial oleh jurugambar.

“Walaupun ada yang memuji dan tidak kurang juga yang mengecam penganjuran majlis kami. Namun saya tetap bersyukur kerana ia berlangsung dengan jayanya, selain mematuhi SOP ditetapkan kerajaan,”katanya.

Sumber: Berita Harian

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here