Pengasas Sugarbook direman 7 hari

0
256

SHAH ALAM: Pengasas Sugarbook direman selama tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan berhubung dakwaan aplikasi itu digunakan sebagai platform mencari perempuan simpanan.

Perintah reman itu dibenarkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Noorin Badaruddin, terhadap lelaki berusia 34 tahun itu pada prosiding semakan permohonan yang bermula jam 10.26 pagi tadi.

Permohonan semakan itu dikemukakan oleh Pengarah Pendakwaan Selangor, Muhamad Iskandar Ahmad, dan Timbalan Pendakwa Raya, Shukor Abu Bakar.

Lelaki itu direman bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 505 (b), Seksyen 372(1)(d) dan Seksyen 372B Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Warga tempatan berasal dari Minden, Gelugor, Pulau Pinang itu diwakili tiga peguam, iaitu Foong Cheng Leong, T Shashi Devan dan Low Li Qun.

Ketika ditemui pemberita selepas prosiding, Shashi Devan berkata, anak guamnya bersetuju untuk memberi kerjasama membantu siasatan kes berkenaan.

“Anak guam juga berpendapat ia adalah platform yang baik untuk dia menyalurkan maklumat diperlukan supaya siasatan dapat dijalankan dengan cepat dan lengkap,” katanya.

Terdahulu pada sesi itu, Shashi Devan turut memohon pertimbangan mahkamah supaya tangan anak guamnya tidak digari ke belakang kerana ada masalah kesihatan di bahagian bahu.

Media semalam melaporkan Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan polis untuk menahan reman lelaki itu bagi membantu siasatan kes terbabit.

Cheng Leong dipetik sebagai berkata, Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Noorasyikin Sahat, menolak permohonan itu selepas anak guamnya memberi aku janji akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis.

Sebelum ini, media turut melaporkan lelaki itu ditahan di sebuah kondominium di Kuala Lumpur pada jam 4.30 petang kelmarin.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here