Penggubalan perundangan khusus gangguan seksual penting – Rina

0
169

PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan menggubal perundangan khusus berkaitan gangguan seksual.

Menterinya, Datuk Seri Rina Harun, berkata kerajaan kini sedang menyemak draf perundangan berkenaan sebelum dapat dibentangkan di dalam Parlimen kelak.

Katanya, perundangan khusus itu amat penting dan akan melengkapi undang-undang sedia ada supaya isu gangguan seksual itu dapat ditangani dengan lebih berkesan.

“Perundangan khusus ini juga mampu melindungi mangsa tanpa mengira wanita mahupun lelaki,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rina berkata, pihaknya memandang serius kejadian gangguan seksual yang disiarkan media sejak kebelakangan ini.

“Perbuatan terkutuk ini sama sekali tidak boleh dipandang enteng, apatah lagi jika ia membabitkan anggota penguatkuasa.

“Berikutan kejadian membabitkan wanita yang mendakwa dirinya diganggu secara seksual oleh anggota polis yang bertugas dalam sekatan jalan raya baru-baru ini, saya menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membuat siasatan segera.

“Ini bagi memastikan mangsa dapat diberikan pembelaan dan pelaku diambil tindakan undang-undang, jika dibuktikan bersalah,” katanya.

Rina berkata, dalam mengendalikan isu ini beliau berharap semua pihak saling menghormati dan tidak mempersoalkan kredibiliti keseluruhan institusi PDRM yang banyak berkorban dalam memastikan keselamatan negara.

“Usahlah kita menghukum ibarat ‘kerana nila setitik, rosak susu sebelanga’,” katanya.

Dalam pada itu, Rina turut menggalakkan rakyat Malaysia, khususnya golongan wanita untuk tampil membuat laporan sekiranya berhadapan dengan sebarang bentuk gangguan seksual, sama ada secara lisan, perbuatan atau melalui pelbagai isyarat oleh pelaku.

“Sama-samalah kita untuk terus mengamalkan sikap saling hormat menghormati antara satu sama lain dan berganding bahu membanteras perbuatan gangguan seksual serta menghapuskan segala bentuk keganasan dan diskriminasi berasaskan gender ini.

“KPWKM sedia membantu dan individu terbabit boleh membuat aduan menerusi talian Kasih 15999 dan Whatsapp 019-26 15999 yang beroperasi 24 jam,” katanya.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here