Pengguna keliru dengan istilah korporat ‘kaedah bacaan prorata’ TNB

0
1415

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mendapati istilah korporat ‘kaedah bacaan prorata’ yang digunakan Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengelirukan dan sukar difahami pengguna.

Presidennya, Adnan Mat, berkata pihaknya mendapati cara pengiraan bil elektrik sebenar bukan dibuat secara sekali gus untuk tiga bulan sehingga menyebabkan bil menjadi tinggi seperti yang tular di media sosial.

“Berdasarkan penjelasan daripada TNB, peningkatan bil berlaku disebabkan trend penggunaan elektrik yang sememangnya meningkat kerana keberadaan (pengguna) di rumah sepanjang masa ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berlangsung.

“Salah faham ini kemungkinan berlaku disebabkan penggunaan istilah korporat yang digunakan iaitu kaedah bacaan prorata sehingga sukar difahami kebanyakan pihak.

“CUEPACS berharap TNB dapat menggunakan istilah atau penyampaian yang lebih mudah difahami pada masa akan datang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

CUEPACS mengadakan pertemuan dengan pihak TNB yang dihadiri Ketua Pegawai Korporat, Datuk Wira Roslan Ab Rahman dan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga dan Sumber Asli, Noor Afifah Abdul Razak bagi membincangkan isu peningkatan bil elektrik yang disuarakan oleh rakyat.

Dalam pertemuan itu, Adnan berkata, CUEPACS diberikan taklimat mengenai cara pengiraan bil TNB ketika PKP, trend penggunaan elektrik, inisiatif pelan bayaran mudah serta isu bil elektrik yang tinggi diterima oleh rakyat sepanjang tempoh PKP sebelum ini.

“Melalui pertemuan itu, CUEPACS berpuas hati dengan penerangan yang diberikan terutama membabitkan cara pengiraan bil TNB sewaktu PKP yang disemak dan dipersetujui Suruhanjaya Tenaga,” katanya.

Adnan berkata, CUEPACS menasihatkan orang ramai yang mempunyai masalah dengan bil masing-masing supaya mengadakan pertemuan dengan pihak TNB bagi buat semakan bil.

“TNB memaklumkan akan memberikan komitmen sebaiknya bagi menyelesaikan setiap masalah yang dihadapi oleh pengguna dengan sewajarnya,” katanya.

Sementara itu beliau berkata, pihaknya berharap TNB serta kerajaan selaku pembuat dasar dapat menilai kembali pemberian diskaun bayaran TNB kepada pengguna sepanjang tempoh PKP berlangsung.

Katanya, CUEPACS berpandangan pemberian diskaun perlu dinilai semula supaya inisiatif itu dapat membantu rakyat yang sedang mengalami kesusahan ketika ini.

“CUEPACS menghargai pemberian diskaun yang diberikan ketika ini (RM279 juta setakat 5 Jun 2020) tetapi berpandangan perlu dinilai semula terutama bagi mereka yang mempunyai jumlah penggunaan elektrik yang tinggi disebabkan pelaksanaan PKP.

“Tujuannya tidak lain dan tidak bukan meringankan sedikit bebanan yang dihadapi rakyat,” katanya.

Adnan berkata, CUEPACS juga berterima kasih atas keprihatinan TNB yang menyediakan Pelan Bayaran Mudah secara automatik sehingga 31 Disember 2020 kepada pengguna yang mempunyai masalah.

Katanya, CUEPACS berharap inisiatif ini dapat memberi kelegaan kepada rakyat dan dapat dipanjangkan lagi ke satu tempoh masa sekiranya mendapati ada keperluan untuk diberikan kepada pengguna.

Sumber: Berita Harian

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here